Ismail Sabri Yaakob government corruption MACC
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR- Seramai 512 individu ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 452 individu telah dikompaun, 59 individu direman dan seorang lagi dijamin.

Antara kesalahan yang dilakukan adalah gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (32), tidak memakai pelitup muka (14), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (103), aktiviti di dalam pub/kelab malam (294), parti persendirian (56), premis beroperasi melebihi tempoh (8), disyaki menjalankan aktiviti pelacuran (4) dan gagal mematuhi arahan kuarantin PKPD (1) katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan seramai 80 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), enam penyeludup dan seorang tekong telah berjaya ditahan dalam Operasi Benteng, semalam.

Daripada jumlah itu, 20 PATI telah ditahan oleh Anglatan Tentera Malaysia di Sungai Nipah Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor, kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya lagi. -MalaysiaGazette