WASHINGTON – Microsoft Corp memaklumkan bidaannya untuk mengambil alih operasi TikTok di Amerika Syarikat telah ditolak ByteDance Ltd.

“ByteDance memberitahu kami hari ini bahawa mereka tidak akan menjual operasi TikTok kepada Microsoft,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah syarikat gergasi teknologi lagi: “Kami yakin cadangan kami baik untuk pengguna TikTok dan melindungi kepentingan keselamatan negara”.

Microsoft, yang bekerjasama dengan Walmart Inc., dilihat berpotensi muncul sebagai pemenang dalam bidaan semasa proses awal tetapi kemudian perbincangan mengenainya menjadi ‘sejuk’, kata sumber yang mengetahui tentang urus niaga tersebut.

Microsoft juga tidak diminta untuk membuat semakan semula terhadap tawaran awalnya.

Cadangan penjualan operasi TikTok itu telah ditentang oleh Kerajaan China.

Perkembangan terbaharu itu memberi harapan kepada Oracle Corp yang bersaing untuk membeli TikTok.

Microsoft menyatakan ia bersedia untuk melakukan perubahan dalam usaha mengatasi kebimbangan tentang keselamatan Amerika Syarikat.

“Untuk melakukan ini, kami akan membuat perubahan yang signifikan bagi memastikan perkhidmatan memenuhi standard tertinggi untuk keselamatan, privasi, keselamatan dalam talian dan memerangi maklumat salah.

”Prinsip-prinsip ini jelas dalam pernyataan kami pada bulan Ogos lalu dan Microsoft berharap dapat melihat bagaimana perkhidmatan ini berkembang di kawasan-kawasan penting ini,” tambah kenyataan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast