Calon Warisan DUN Senallang N.65 yang merupakan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika hadir ke majlis ramah mesra bersama Presiden Parti Warisan Sabah sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 14 SEPTEMBER 2020.

TAWAU – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengesahkan calon partinya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong, Alias Sani tidak mempunyai sebarang rekod dalam pergerakan militan.

Beliau berkata, perkara itu telah disemak partinya sebelum proses pengumuman calon dibuat Khamis lalu di Kota Kinabalu.

“Memang pun betul. Dia tidak ada kes dia, saya sudah semak. Kita sudah siasat perkara tertentu,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Presiden di sini hari ini.

Hadir sama calon Warisan bagi DUN Sri Tanjung, Justin Wong Yung Bin.

Semalam, Alias menafikan dakwaan beliau pernah terlibat dalam gerakan militan.

Penafian itu dibuatnya selepas sekeping gambar tersebar di media sosial sejak semalam mendakwa dirinya ialah bekas militan yang menetap di Sandakan.

Bagaimanapun beliau mengakui pernah ditahan pada 2003 hingga 2007 tetapi tidak pernah dibicarakan dan disabitkan bersalah.

Calon Warisan DUN Senallang N.65 yang merupakan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bercakap kepada media selepas hadir ke majlis ramah mesra bersama Presiden Parti Warisan Sabah sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 14 SEPTEMBER 2020.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie melahirkan rasa pelik apabila bendera Perikatan Nasional (PN) dipasang di sepanjang jalan di Sabah.

Katanya, PN adalah sebuah gabungan yang masih belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) maka sebarang lambang gabungan itu tidak boleh digunakan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Sejak bila pula PN daftar dan saya tahu cuma parti Bersatu, BN yang layak bertanding tapi mana badan organisasi yang tidak berdaftar tidak akan boleh bertanding tapi kalau ini berlaku maka pihak-pihak tertentu pada masa akan datang boleh menggunakan perkara sama.

“Saya harap undang-undang ini kena patuhi dan jangan longgarkan kerana kalau dilonggarkan maka akan dilihat sistem perundangan kita tidak akan lakukan sebaik mungkin,” katanya hari ini.

Beliau mengulas pertanyaan media mengenai desakan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan serta merta dengan membatalkan pencalonan semua calon yang bertanding di bawah tiket PN.

Ini katanya, carian dalam rekod di laman sesawang ROS, tiada maklumat mengenai pendaftaran parti gabungan UMNO, Bersatu dan Pas itu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Calon Warisan DUN Sekong nafi dirinya militan

2 Komen

  1. Pernah di tahan dari tahun 2003-2007 tp tidak terlibat… Lu cerita dol saja2 tahan bg ko mkn free ke

Comments are closed.