Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

PUTRAJAYA – Pas akan melancarkan jenteranya di Sabah esok secara rasmi untuk membantu semua rakan sekutu Perikatan Nasional berkempen dan memastikan mereka menang pada 26 September ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau akan pergi ke Sabah esok untuk melancarkan jentera Pas sempena kempen PRN kali ini.

“Saya akan pergi ke PRN Sabah pada hari esok untuk melancarkan jentera Pas bagi membantu rakan-rakan Perikatan Nasional bagi memastikan kerusi yang ditandingi dimenangi.

“Petang esok saya akan ke Kota Kinabalu (lancar jentera Pas), ini komiten Pas walaupun Pas tak bertanding, Pas tetap lancar jentera nak pastikan bahawa kita menang,” katanya kepada pemberita tengahari tadi.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata demikian dalam sidang media khas penubuhan Pasukan Petugas Khas Cegah Jenayah Alam Sekitar yang turut dihadiri Timbalan Pengarah (Pendakwaan dan Undang-undang) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid.

Diminta mengulas mengenai 11 kerusi Dewan Undangan Negeri yang bertembung sesama calon sekutu dalam gabungan parti Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Sabah kali ini, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi, pihaknya menyerahkan isu itu kepada kebijaksanaan strategi PN.

Katanya oleh kerana penamaan calon sudah selesai maka parti bertanding dalam gabungan PN yang mengadakan pertemuan setiap hari akan menyelesaikan isu-isu berbangkit itu.

“Saya yakin mereka boleh selesaikan (soal tertembungan calon DUN)..Insya Allah.

“Justeru kita juga akan mendapatkan maklumat dari bilik gerakan parti dalam keputusan perundingan berkaitan calon-calon yang bertembung sesama sendiri dalam kerusi DUN PRN Sabah

“Kita ada 20 jentera Bahagian di Sabah dan purata dalam 2,000 jentera tenaga parti.. Jadi kita akan membawa tambahan jentera dari semenanjung untuk turun di Sabah,” tegasnya.-MalaysiaGazette