Kereta jenis Perodua Myvi milik seorang wanita yang terbakar di lebuh raya Persekutuan menghala Jalan Klang Lama tengahari tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita nyaris rentung apabila kereta dipandu terbabas sebelum terbakar di Lebuh Raya Persekutuan menghala Jalan Klang Lama hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGOKL) memaklumkan, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian kira-kira pukul 1 tengahari.

Sepasukan sembilan anggota digegaskan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat tersebut menerusi Balai Bomba Seputeh, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Setibanya kami di tempat kejadian didapati kereta milik wanita terbabit sudah terbakar hampir 90 peratus. Kebakaran bermula dari bahagian hadapan yang berpunca daripada kemalangan jalanraya menyebabkan kereta tersebut terbabas melanggar pembahagi jalan lalu terbakar,” katanya.

Mangsa yang mengalami kecederaan ringan berjaya keluar sendiri dari kenderaannya sebelum keretanya musnah dijilat api, ujar beliau.

Wanita itu kemudiannya diberi rawatan awal oleh anggota EMRS Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia . – MalaysiaGazette