Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra pada Program Ramah Mesra Presiden UMNO bersama-sama pengundi-pengundi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di PPR Balung, DUN Balung, Tawau. foto MOHD ADZLAN, 15 SEPTEMBER 2020.

TAWAU – Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri harus seiring bagi memastikan rakyat di negeri itu mendapat peruntukan daripada kerajaan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mana-mana kerajaan negeri yang mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Pusat pastinya akan diberikan peruntukan walaupun tidak meminta.

“Kerajaan negeri yang baik dengan kerajaan pusat, walaupun tidak minta akan diberi peruntukan.

“Tetapi kalau negeri yang sombong tidak bersama dengan kerajaan pusat, siapa nak beri peruntukan,” katanya ketika menghadiri Program Ramah Mesra Presiden UMNO bersama-sama pengundi-pengundi di PPR Balung, DUN Balung, Tawau, hari ini.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada keengganan Presiden Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, keengganan itu membuatkan rakyat Sabah kerugian kerana tersepit dengan agenda politik pemimpin parti itu.

“Kesombongan itu adalah yang melampau sebab yang jadi mangsa adalah rakyat Sabah sedangkan rakyat ini harus dibela dan diberikan peruntukan,” katanya.

Pada Mac lalu, Shafie berkata, beliau dan kerajaan negeri Sabah tidak bersama-sama dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kekal menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette