Empat ahli lembaga pengarah bersama seorang pengurus kilang diiring anggota polis ke mahkamah sesyen bagi menghadapi pertuduhan menyebabkan pencemaran kawasan perindustrian Sungai Gong di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 15 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus kilang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan pencemaran bau di kawasan perindustrian di Sungai Gong, dekat Rawang, 3 September lalu.

Pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said di Mahkamah Sesyen Selayang, Gombak, hari ini.

Empat tertuduh adik-beradik itu, Yip Kok Wai, 52; Yip Kok Mun, 58; Yip Kok Kuin, 50; Yip Kok Weng, 60 dan Ho Voon Leong, 59, yang ditemani peguam bagaimanapun minta dibicarakan.

Mengikut pertuduhan pertama, kelima-lima tertuduh pada 2 dan 3 September 2020 di premis Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd beralamat di Lot 421, Jalan Batu Arang, Kg Sungai Dua, Rawang dalam daerah Gombak, Selangor dengan niat bersama telah melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari bengkel terbabit dilupuskan ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke Sungai Gong, Rawang.

Tertuduh mengetahui tindakan itu akan menyebabkan susut bekalan air bagi maksud minuman manusia.

Kesemua tertuduh dituduh mengikut Sekysen 430 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca Sekysen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, kelima-lima tertuduh pada 2 dan 3 September 2020 di premis Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd beralamat di Lot 421, Jalan Batu Arang, Kg Sungai Dua, Rawang dalam daerah Gombak, Selangor tanpa lesen.

Tertuduh melakukan kesalahan itu mengikut Sekysen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak kurang RM100,000 atau penjara tidak kurang lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad, Mohd Ashraf Kamal dan Mohd Azhanuddin Alias tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh atas alasan telah melibatkan kesusahan lebih 6 juta warga Lembah Klang dan kepentingan umum.

Bagaimanapun peguam M. Reza Hassan meminta mahkmah mengenakan jaminan RM100,000 bagi setiap pertuduhan anak guamnya.

Ini kerana salah seorang anak guamnya menghidap penyakit darah tinggi dan bimbang dijangkiti wabak Covid-19 jika ditempatkan di penjara kerana terpaksa bersesak-sesak.

Peguam M. Reza juga menafikan dakwaan sebelum ini melibatkan kesalahan sama sedangkan denda RM60,000 dikenakan Lembaga Air dan Saliran (LUAS) kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan pekerja tidak mendapat latihan

Bagaimanapun pihak pendakwaan menegaskan walaupun tidak menyebabkan pencemaran namun ia boleh melibatkan pencemaran sungai seperti berlaku pada 2 dan 3 September 2020.

Sementara itu, sekiranya mahkamah tidak menerima tawaran jaminan, pihak pendakwaan akan menawarkan jaminan RM3 juta bagi setiap tertuduh dengan dua pertuduhan.

Hakim Syafeera bagaimanapun menetapkan 27 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bgus..pihak mahkamah bertindak dgn bijik, perkara ini , bukn main2 perkara yg myebabkn myusahkn bukn 100 org tapi berjuta..harap pihak mahkamah dpt menjatuhkn hukumqn yg maksimum kpd pbuatan khianat ini, demi keuntungan semata2, sgup khianat kpd alam skitar..harap mnjadi pgajaran kpd smua yg berada di luar sana, spya berhati2 n berfikir panjang kesan kpda alam skitar ke atas perbuatan yg tidk perikemanusiaan itu..

Comments are closed.