Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) bercakap sesuatu dengan Penerbit dan pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam pada Majlis Santai Petang Bersama Penggiat Seni Tanah Air di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 15 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Pimpinan Perikatan Nasional (PN) dinasihatkan tidak menimbulkan isu yang membawa perpecahan awal pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ketika ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, apa yang penting, Parti Warisan Sabah (Warisan) perlu ditumbangkan terlebih dahulu.

Jelas beliau yang juga Menteri Kanan Pertahanan, selepas itu, barulah PN boleh berbincang siapa yang layak menjadi Ketua Menteri Sabah dalam kalangan rakan komponen gabungan itu.

“Setiap parti berhak menamakan nama Ketua Menteri tetapi tertakluk persetujuan rakan seperjuangan lain. Setakat hari ini yang penting menang dulu dan semua kena fokus untuk pasti kemenangan parti yang menentang Warisan di Sabah.

“Kalau timbul isu lagi di peringkat awal kita berpecah sikit akan boleh kalah. Kita bersatu bersama tumbangkan Warisan dan selepas itu baru tentukan ketua menteri dan bincang. Kalau kalah nak bincang apa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Santai Pentang Menteri Pertahanan Kanan bersama Penggiat Seni Tanah Air sempena Kempen Tabung Pahlawan 2020 di sini hari ini.

Hari ini, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kembali bersuara mengenai calon Ketua Menteri Sabah apabila berkata, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, Datuk Hajiji Noor memiliki keperibadian dan watak untuk melayakkannya mengetuai pentadbiran Sabah.

Beliau berkata, Sabah memerlukan ketua yang boleh bekerja dan berkhidmat untuk rakyat.

Mohamed Azmin dilihat mengulangi kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Hari Penamaan Calon PRN Sabah yang membayangkan Hajiji mengetuai pentadbiran Sabah sekiranya parti sekutu dalam PN dan Barisan Nasional (BN) sebagai Gerakan Rakyat Sabah bersetuju.

Bagaimanapun, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan isu bakal Ketua Menteri Sabah hanya sesuai dibincangkan selepas BN dan Gabungan Rakyat Sabah menang sekurang-kurangnya 37 kerusi DUN.

Sementara itu, Ismail Sabri berharap penggiat seni tanah air dapat membantu mempromosikan Kempen Tabung Pahlawan 2020 di media sosial untuk membantu kementerian mencapai sasaran RM10 juta.

Beliau berkata, golongan tersebut dilihat mempunyai pengaruh kuat kerana memiliki peminat dan pengikut ramai dalam membantu kempen itu hingga akhir tahun ini.

“Tahun lalu, kita sasar RM8 juta. Tahun ini kita menyasarkan jumlah kutipan sebanyak RM10 juta namun terdapat kekangan kerana Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan kerana banyak aktiviti seperti program larian dan badminton amal.

“Jadi kita menumpukan promosi kempen tahun ini menerusi media sosial,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Giliran Azmin bersuara mengenai calon Ketua Menteri Sabah