Rosniza Baharum bersama penerima bantuan BERNAS Prihatin.

JOHOR BAHRU – Bukan sedikit yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Ramai kehilangan pekerjaan tidak kurang juga yang terpaksa menggandakan mata pencarian demi meneruskan kelangsungan hidup dalam suasana yang amat mencabar.

Pastinya golongan B40 turut menerima tempias menambahkan lagi kesukaran hidup mereka terutamanya yang mempunyai tanggungan yang ramai.

Prihatin dengan nasib golongan tersebut dan mengambil semangat bulan kebangsaan, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) mengorak langkah menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka.

Terbaharu menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya, BERNAS menyantuni lebih 50 keluarga berbilang kaum di Flat Taman Cendana, Pasir Gudang di sini.

Pengurus Operasi Wilayah Selatan, Noor Khaliq Abdul Rahman berkata, program tersebut bertujuan membantu masyarakat setempat yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19 terutamanya mereka yang tinggal berhampiran dengan pusat operasi syarikat itu.

“Pandemik Covid-19 bukan sahaja menjejaskan kesihatan, malah ia turut memberi kesan kepada pendapatan individu dan isi rumah. Justeru, BERNAS telah mengambil inisiatif menceriakan mereka di Taman Cendana ini dengan sumbangan berbentuk wang dan barangan keperluan harian.

“Selain berhampiran dengan gudang operasi kami, kawasan perumahan ini menempatkan pelbagai kaum sekaligus ianya betepatan dengan konsep bulan Kebangsaan yang disambut,” kata Khaliq.

Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat BERNAS, Rosniza Baharum berkata, sebelum ini, BERNAS  Prihatin telah menemui beberapa pesawah di Sekinchan, Selangor dan Pasir Puteh, Kelantan.

“Kali ini kami ke Pasir Gudang, Johor Bahru bagi menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, terutamanya ketika fasa pemulihan yang kita lalui ketika ini,” ujar beliau.

Katanya, bagi merealisasikan hasrat tersebut, BERNAS bersama Kalana iaitu wakil Badan Kebajikan Penduduk Taman Cendana telah mengenal pasti lebih 50 keluarga yang amat memerlukan bantuan dan enam daripada mereka merupakan golongan kurang upaya (OKU).

Ramai di antara mereka juga, katanya, telah hilang punca pendapatan semenjak Perintah Kawalan Pergerakan dijalankan semenjak bulan Mac yang lalu.”

“Beras dan masyarakat Malaysia memang tidak dapat dipisahkan, ianya menjadi salah satu sumber karbohidrat yang memberi tenaga kepada kita.

“Sehubungan itu, BERNAS telah menghulurkan dua jenis beras seperti Beras Basmati dan juga Beras Putih Tempatan yang dapat membantu memberi sumber tenaga kepada mereka” katanya lagi.

Antara sumbangan yang diterima berupa barangan keperluan harian.

Salah seorang penerima OKU, Bunga Osman, 61, memanjatkan kesyukuran di atas sumbangan yang diterima.

“Alhamdulillah syukur di atas sumbangan ini, ianya banyak membantu kami lebih-lebih lagi saya tiada punca pendapatan dan hanya mengharapkan bantuan yang diperuntukkan oleh pihak kerajaan dalam meneruskan kehidupan harian.”

Selain diri sendiri, Bunga turut menjaga sahabat beliau yang juga memerlukan penjagaan kesihatan yang rapi.

Krisnaama Perumal, 52, yang kehilangan suami sejak dua tahun lalu pula berterima kasih kepada BERNAS di atas sumbangan wang dan barangan harian yang dihulurkan.

“Setelah kehilangan suami dua tahun lepas, sumber pendapatan saya dalam membesarkan anak-anak agak terhad. Sumbangan daripada BERNAS pada hari ini, semestinya dapat membantu saya sekeluarga,” kata Krisnaama.

Ditanya tentang penduduk berbilang kaum di Taman Cendana ini, Krisnaama melahirkan rasa bangga kerana permuafakatan yang terjalin di antara mereka amat kuat di antara satu sama lain.

“Kami hidup sebagai sebuah keluarga yang besar di amana jiran tetangga yang terdiri daripada kaum Melayu dan India saling membantu di antara satu sama lain,” kata Krisnaama lagi.

Mengulas lanjut mengenai program BERNAS Prihatin, Rosniza menegaskan komitmen untuk meneruskan program tersebut dalam memastikan kesinambungan program membantu golongan yang memerlukan.

“Insya Allah, BERNAS Prihatin akan diteruskan di masa akan datang. Selain membantu mereka yang memerlukan, program ini merupakan satu medium mengukuhkan silaturahim di antara BERNAS dan masyarakat setempat.

“Pada hari ini, seramai 20 warga kerja dari Ibupejabat BERNAS dan Gudang BERNAS di Pasir Gudang turun padang merealisasikan program ini,” akhiri beliau.

Selain berperanan membeli padi daripada pesawah pada harga minimum terjamin serta bertindak sebagai pembeli terakhir padi daripada pesawah, BERNAS akan terus melestarikan tanggungjawab obligasi sosialnya seperti pengurusan stokpail, menguruskan Skim Pengilang dan Pemborong Bumiputera dan Pengurusan Skim Subsidi bagi Pesawah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast