Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Seorang pesara guru di Johor kerugian sebanyak RM459,041.90 akibat diperdaya Macau Scam dalam satu kejadian di Johor.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Korporat dan Kewangan Johor, Supritendan Amran Jusin dalam satu kenyataan berkata, mangsa telah telah membuat 20 transaksi pemindahan wang kepada saspek selepas menerima satu panggilan telefon yang menyamar sebagai Pos Laju dan menyatakan terdapat bungkusan mengandungi kad pengenalan mangsa.

Saspek juga menipu mangsa dengan mengatakan beliau telah terlibat dalam kes penggubahan wang haram dan perlu memindahkan sejumlah wang ke  beberapa akaun bank supaya ‘siasatan lanjut’ boleh dijalankan.

“Polis Johor berulang kali menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai dakwaan yang diterima melalui panggilan telefon dan tidak mudah panik apabila menerima panggilan sedemikian.

“Agensi penguatkuasaan tidak sesekali meminta butiran akaun bank dan mengarahkan wang dipindahkan ke akaun bank yang lain,” katanya.

Menurut Amran, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda.- MalaysiaGazette