Datuk Huzir Mohamed

KUALA LUMPUR – Dua lelaki Cina warganegara Malaysia yang dikehendaki Amerika Syarikat dalam kes jenayah berat pengubahan wang haram dan jenayah siber di negara itu telah ditangkap dan direman oleh polis Bukit Aman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, mereka ditahan oleh sepasukan polis Bahagian D12 Nasional Central Bureu (NCB) Interpol, Bahagian D14 Jenayah Terancang, JSJ Bukit Aman pada 1 September lalu sekitar jam 8.30 malam di sekitar Perak.

Katanya suspek pertama berumur lingkungan 40-an merupakan seorang ahli perniagaan dan suspek kedua berumur lingkungan 30-an bekerja sebagai juruanalisa komputer.

“Kedua-dua suspek dikehendaki oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat kerana disyaki melakukan pengubahan wang haram dan jenayah komputer di negara kuasa besar dunia itu.

“Pihak berkuasa AS telah menghantar permohonan ekstradisi pada 3 September lalu terhadap kedua-dua suspek berkenaan dan Jabatan Peguam Negara bersetuju untuk melaksanakan permohonan tersebut selaras dengan peruntukan di bawah Akta Ekstradisi 1992 serta Triti Ekstradisi di antara kerajaan Malaysia dan kerajaan AS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pada 11 September lalu pihak Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah mengeluarkan waran pemberkasan sementara (Provisional Warrant of Arrest) ke atas kedua-dua suspek dikehendaki itu.

Menurutnya, permohonan reman telah dibenarkan oleh Majistret Kuala Lumpur selama 60 hari ke atas kedua-dua suspek itu di bawah Seksyen 16(1) Akta Esktradisi 1992 serta Artikel 11(4) Triri Ekstradisi di antara kerajaan Malaysia dan kerajaan AS.

“Kedua-dua suspek itu kini direman di Penjara Sungai Buloh.

“Kedua-dua suspek menjalankan perniagaan penjualan artifak permainan seperti Kit dan kad kredit secara tidak sah.

“Manakala pihak forensik juga telah membuat rampasan terhadap bahan bukti dan dokumen berkaitan di syarikat milik mereka,” tegasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Habis la, kat sini boleh la menipu sana, menipu sini, gores sana gores sini. MACAU scam sana MACAU scam sini!

    Alamat merengkoklah dalam penjara US selama 20++ tahun!

Comments are closed.