WASHINGTON- Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) sedang berusaha untuk mendapatkan semula aset tambahan bernilai AS$300 juta (RM1.244 bilion) yang didakwa mempunyai hubungan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Menurut agensi berkenaan, aset-aset tersebut telah pun dijejaki dan sedang berada di dalam satu akaun pihak ketiga (escrow account) di United Kingdom.

Pihak berkuasa Malaysia dan AS menganggarkan sejumlah AS$4.5 bilion telah dicuri daripada 1MDB dalam satu penipuan besar-besaran di peringkat global melibatkan pegawai-pegawai tertinggi seperti bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan eksekutif-eksekutif Goldman Sachs dan pelbagai lagi.

Tuntutan terbaharu itu menjadikan nilai keseluruhan aset yang dituntut oleh AS yang mempunyai kaitan dengan skandal tersebut adalah sebanyak AS$2.1 bilion, jumlah terbesar aset yang berjaya diperolehi semula oleh agensi berkenaan.

Setakat ini, AS telah berjaya memperolehi atau membantu Malaysia mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB bernilai AS$1.1 bilion.- MalaysiaGazette