Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (kiri) menabur baja sebagai gimik Pelancaran Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma di Dataran Begandang, Pekan Beaufort, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2020.

BEAUFORT – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pemberian kadar dividen sebanyak 8.1 peratus bagi Dana Peladang Kebangsaan untuk Tahun 2020 melibatkan jumlah keseluruhan RM7.7 juta.

Katanya, dividen berkenaan adalah berdasarkan keuntungan RM9.3 juta bagi tahun lalu oleh dana di bawah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

“Perkara ini sememangnya sesuatu pencapaian yang amat memberangsangkan khususnya bagi NAFAS,”katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Skim Subsidi Baja dan Racun Padi/ Huma di Dataran Begandang hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun.

Selain itu, Muhyiddin turut menyampaikan berita gembira kepada nelayan dengan mengembalikan elaun khas RM300 yang dipotong ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Pemulangan RM50 itu diharap Muhyiddin dapat membantu golongan nelayan yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

“Saya juga mendengar dan memahami kesukaran hidup golongan nelayan dalam berdepan saat-saat sukar negara menghadapi wabak Covid-19. Oleh itu, saya ingin mengumumkan bahawa Kerajaan bersetuju untuk menaikkan Elaun Sara Hidup nelayan dari RM250 sebulan kepada RM300 sebulan.

“Saya berharap kenaikan elaun ini akan sedikit sebanyak mengurangkan beban yang dihadapi,” tambahnya.

Dalam majlis yang sama, Muhyiddin turut menyampaikan beberapa bantuan khas  untuk  petani, penternak dan nelayan di Sabah iaitu Elaun Sara Hidup Nelayan berjumlah RM21.1 juta yang dijangka akan memanfaatkan 7,581.

Beliau juga memberikan Insentif Skim Rezeki Ternak  dengan peruntukan RM1.73 juta, Geran Agropreneur Muda dengan peruntukan sebanyak RM2.94 juta dan Insentif Projek Pembangunan Industri Kopi berjumlah RM556,000.

Perdana Menteri selain itu turut menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Perniagaan NAFAS kepada asnaf di Negeri Sabah berjumlah RM340,000 kepada 1,700 penerima.

Beliau juga  menyerahkan Mock-Key Lori Kargo dan Kenderaan Pacuan 4-Roda di bawah Program Peningkatan Mobilisasi dan Logistik Bahan Makanan PPK Negeri Sabah dengan peruntukan sebanyak RM860, 000.-MalaysiaGazette