Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 95 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan 14 kes pulih dan satu kematian, kes kematian pertama dalam tempoh 17 hari.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus itu meningkat kepada 754 kes dengan jumlah kumulatif kes positif adalah 10,147 kes manakala jumlah keseluruhan kes kematian naik kepada 129 kes.

Jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah sebanyak 9,264 kes atau 91.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga kini terdapat 11 kes positif yang sedang dirawat di Unit
Rawatan Rapi (ICU) manakala dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 95 kes baharu yang dilaporkan, empat merupakan kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang mana kesemua kes import tersebut melibatkan bukan warganegara iaitu tiga kes pendatang asing tanpa izin Indonesia di Selangor dan satu kes krew Kapal warga China di Sabah.

“Daripada 91 kes penularan di dalam negara, 68 kes adalah warganegara tempatan dan 23 kes adalah bukan warganegara.

“Pecahan terperinci kesemua 91 kes dalam negara menyaksikan 90 kes direkodkan di Sabah yang mana 76 kes daripadanya merupakan kluster Benteng LD iaitu 20 daripadanya bukan warganegara.

“Manakala empat kes adalah daripada kluster Pulau iaitu melibatkan satu kes bukan warganegara, tiga kes kluster Selamat, tiga kes Severe Acute Respiratory Illness (SARI) yang
melibatkan seorang bukan warganegara di Hospital Lahad Datu; dua kes saringan bergejala dan mereka telah dimasukkan ke Hospital Tawau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Meenurut Noor Hisham, kes kematian ke-129 (kes ke-10,145) merupakan perempuan warga Filipina berumur 50 tahun yang mengalami gejala batuk dan sesak nafas pada 14 September lalu yang mana  sebelum itu pesakit terbabit telah mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan.

“Dia kemudiannya telah dirujuk ke Hospital Semporna bagi rawatan lanjut, namun tidak pergi berikutan kekangan yang beliau hadapi.

Tambah beliau, wanita itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kemudiannya dibawa ke Hospital Semporna, Sabah dan disahkan meninggal dunia pada hari yang sama dan kemudian dikesan positif Covid-19 menerusi ujian saringan. – MalaysiaGazette