Orang awam menggunakan bahan pencuci tangan bagi mencegah jangkitan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar Hospital Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JANUARI 2020

PULAU PINANG – Pada ketika rakyat Malaysia rajin mencuci tangan untuk mencegah jangkitan COVID-19, sesetengah orang pula mengalami masalah kecelaruan obesif kompulsif atau OCD.

Keadaan itu adalah disebabkan kebimbangan mengenai kemungkinan jangkitan, sehingga mereka berasa gelisah apabila tidak mencuci tangan.

Oriental Daily melaporkan, dalam satu kes, seorang pelajar yang pulang dari luar negara pernah satu ketika menghabiskan 13 jam untuk membasuh diri di bilik mandi kerana mengalami OCD.

Doktor Pakar Psikiatri di Island Hospital, Dr. Wee Kok Wei berkata, pelajar tersebut menghabiskan masa yang panjang untuk mandi sehingga tidak dapat mengikuti pembelajaran dalam talian, sekali gus menjejaskan prestasi akademiknya.

Beliau berkata, selepas proses rawatan, keadaan pesakit semakin sembuh dengan masa mandi dikurangkan daripada 13 jam kepada dua jam dan seterusnya hanya sejam.

Katanya, terdapat juga kes melibatkan pelajar yang mahu mencuci tangan selepas menyentuh buku kerana beranggapan buku berkenaan sudah disentuh banyak orang.

Mengulas lanjut tentang OCD, Kok Wei berkata, terdapat juga pesakit yang tidak sanggup menyentuh skrin telefon pintar atau masuk tandas kerana beranggapan alat dan kemudahan tersebut terlalu kotor.

Keadaan itu juga menyebabkan individu berkenaan perlu meminta bantuan ibunya untuk menyentuh skrin telefon.

Untuk individu kedua pula, pesakit malahan sanggup memakai lampin pakai buang dewasa berbanding memasuki tandas.

“Sesetengah orang bimbang kecuaian akan menyebabkan mereka terkena jangkitan COVID-19, oleh itu mereka akan asyik mencuci tangan.

“Jika tidak mencuci tangan, mereka akan berasa gelisah. Ini mungkin merupakan tanda OCD,” katanya kepada Oriental Daily.

Menurutnya, pesakit sedar bahawa badan mereka bersih, tetapi mereka tidak dapat mengawal diri untuk mencuci tangan atau mandi.

“Jika mereka tidak mencuci tangan atau mandi, mereka akan gelisah. Membasuh tangan dan mandi justeru digunakan untuk melegakan perasaan gelisah,” katanya.

Kok Wei berkata, beliau biasanya menerima kira-kira 10 kes OCD setiap tahun, tetapi jumlah itu telah melonjak pada tahun ini.

Menurutnya, sejak kerajaan menguatkuasakan PKP pada Mac, hampir 20 kes OCD telah diterima setakat ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast