Wafiy Abd Aziz menutup wajahnya ketika berjalan keluar selepas mendengar tuduhan kes di Mahkamah Sesyen atas dakwaan mengapi-apikan Pengerusi Education Malaysia Global Services (EMGS) untuk memecat kakitangannya yang memberi maklumat tentang salah lakunya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto ISKANDAR HAMIDI, 18 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR –┬áTimbalan Pengarah Education Malaysia Global Services (EMGS), dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan menyebabkan seorang kakitangannya dipecat kerana memberikan maklumat salah laku tertuduh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tertuduh, Wafiy Abd Aziz, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut kertas pertuduhan, Wafiy didakwa mengambil tindakan memudaratkan terhadap pemberi maklumat berusia 53 tahun itu dengan mengapi-apikan Pengerusi EMGS, Datuk Abdul Rahman Mohamed Shariff supaya menandatangani satu dokumen pemecatan seorang kakitangan sebagai satu tindak balas terhadap pendedahan salah laku tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 9 Januari 2020 di pejabat EMGS, 157 Hampshire Office, Jalan Mayang Sari, Kuala Lumpur.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 15 tahun atau kedua-duanya sekali.

Wafiy Abd Aziz (tengah) ketika hadir pada tuduhan kes di Mahkamah Sesyen atas dakwaan mengapi-apikan pengerusi Education Malaysia Global Services (EMGS) untuk memecat kakitangannya yang memberi maklumat tentang salah lakunya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kompleks Makhamah Tinggi Kuala Lumpur. foto ISKANDAR HAMIDI, 18 SEPTEMBER 2020.

Wafiy itu didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 10 (3)(b) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 10(6) Akta yang sama kerana telah menyebabkan seorang kakitangan syarikat dipecat setelah memberikan maklumat kepada SPRM.

Pertuduhan di bawah Seksyen tersebut merupakan yang pertama dalam sejarah sejak akta berkenaan berkuatkuasa pada 2010.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Afif Ali manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Sarah Khalil dari Tetuan Salehuddin Saidin.

Mohd Afif mewakili SPRM berhujah, meskipun tuduhan yang dihadapi tertuduh adalah satu kesalahan tidak boleh jamin, pihak pendakwaan tidak membantah sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara membenarkan jaminan kepada tertuduh.

Bagaimanapun katanya, pendakwaan mencadangkan agar kadar jaminan ditetapkan pada jumlah RM30,000 dengan seorang penjamin serta memohon syarat tambahan iaitu dokumen perjalanan perlu diserahkan kepada mahkamah dan lapor diri di SPRM sebulan sekali.

“Jumlah wang jaminan yang dicadangkan adalah munasabah dan tidak keterlaluan bertujuan memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah sepanjang perbicaraan.

“Ada faktor-faktor yang perlu dilihat iaitu graviti kesalahan yang dihadapi tertuduh adalah serius yang memperuntukkan hukuman berat di bawah Seksyen 10(6) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2020 (Akta 711),” katanya.

Afif juga berkata, tidak dapat dinafikan bahawa kebolehan tertuduh melarikan diri adalah wujud dalam kes ini maka jumlah jaminan tinggi serta syarat tambahan yang dicadangkan akan berfungsi sebagai satu penebat kepada peluang ada kepada tertuduh.

Justeru beliau juga menjelaskan kepada mahkamah bahawa individu tertuduh yang berkedudukan berpengaruh iaitu sebagai timbalan pengarah syarikat berpeluang mengganggu dan mempengaruhi saksi-saksi yang akan disenaraikan oleh pendakwaan nanti.

Beliau memaklumkan jumlah jaminan dan syarat tambahan itu akan menjadi peringatan serius kepada tertuduh untuk tidak cenderung ke arah melakukan perbuatan itu, selain mahu memastikan nilai yang bakal diputuskan memberi gambaran mahkamah melihat kesalahan tertuduh sangat serius.

Bagaimanapun Siti Sarah berhujah bahawa anak guamnya tidak akan melarikan diri seperti didakwa memandangkan tertuduh menghadapi satu pertuduhan kes lain pada Julai 2020 di mahkamah sama dan dibenarkan wang jaminan RM12,000 dan disyaratkan melaporkan diri di SPRM dan tidak pernah gagal lapor diri.

“Malah semasa pengurusan kes pada 1 September lau, anak guam kami hadirkan diri dan dalam kes hari ini, dia disiasat sejak Januari lalu oleh SPRM sebelum dipanggil hadir semalam dan ditahan pagi ini serta dihadapkan di mahkamah.

“Pendakwaan sendiri menyatakan tiada bukti anak gvuam akan ganggu saksi pendakwaan dan ia hanya spekulasi semata-mata sedangkan kami sendiri tidak tahu siapa saksi-saksi yang bakal dibariskan nanti maka isu ganggu saksi tidak bangkit di sini.

“Tiada afidavit atau laporan polis dibuat sebagai menunjukkan anak guam kami mampu mengganggu saksi-saksi kes ini, maka saya memohon jamin dikekalkan jumlah yang sama dengan syarat sama namun dirayu supaya tidak melebihi RM15,000.

“Malah, oleh kerana, anak guam kami berada dalam kedudukan berpengaruh dan mempunyai masa depan memandangkan usianya 35 tahun, kita meminta mahkamah supaya tertuduh tidak dibawa keluar ke kaunter bayaran wang jamin memandangkan kehadiran media yang banyak akan menjejaskan masa depan karier anak guam,” katanya.

Siti Sarah sekali lagi berhujah supaya mahkamah boleh memberi arahan kepada tertuduh tidak mengganggu saksi-saksi sepanjang proses perbicaraan kes nanti.

Hakim Sesyen Azman yang mendengar hujah kedua-dua pihak menetapkan wang jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan mensyaratkan penyerahan dokumen perjalanan dan melapor diri kepada SPRM dua kali setiap bulan dan menetapkan 10 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes.

Beliau juga mengarahkan tertuduh dilarang mengganggu saksi-saksi yang akan disediakan pendakwa raya. – MalaysiaGazette

Pegawai pecat kakitangan buat laporan ke SPRM akan dihadapkan ke mahkamah