KUALA LUMPUR- Wabak Covid-19 mengorbankan seorang lagi mangsa menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat pandemik itu di Malaysia adalah 130.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan, lelaki berusia 82 tahun itu adalah dari Kluster Sungai dan merupakan pesakit strok serta sukar bergerak sendiri sejak Mac 2020 akibat patah kaki.

Mangsa mengalami gejala demam pada 4 September namum tidak mendapatkan rawatan.

“Pada 7 September, beliau telah dikesan sebagai kontak rapat kepada anak dan cucu beliau yang merupakan kes positif Kluster Sungai lalu dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

“Beliau disahkan meninggal dunia petang semalam pada jam 5.45 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, 20 kes baharu Covid-19 telah dikesan setakat jam 12 tengahari tadi melibatkan 15 penularan tempatan dan tiga kes import.

Terdapat satu kluster baharu telah dikenal pasti di Semporna, Sabah iaitu Kluster Bakau yang mana indeks kluster tersebut adalah wanita warganegara Filipina yang meninggal dunia semalam akibat Covid-19 (korban ke-129).

“Saringan COVID-19 kes indeks didapati positif pada 16 September 2020.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan dua (2) lagi kes positif COVID-19 bagi Kluster Bakau dikenalpasti.

“Dua kes positif ini melibatkan satu warganegara Malaysia dan satu warganegara Filipina. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan,” katanya lagi.

Kedah mencatatkan kes positif Covid-19 tertinggi hari ini dengan sembilan kes yang mana lapan daripadanya adalah daripada Kluster Sungai manakala satu kes lagi kes adalah Severe Acute Respirotary Illness (SARI) di Hospital Sultanah Bahiyah.

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham memberitahu, terdapat lapan kes baharu di Sabah melibatkan tiga kes saringan rujukan ke Hospital Tawau dari Hospital Semporna yang melibatkan dua bukan warganegara;  satu kes SARI di Hospital Tawau; satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Keningau; satu kes saringan komuniti di Tawau; satu kes daripada Kluster Benteng LD; dan satu kes daripada Kluster Bakau yang melibatkan bukan warganegara.

Menyentuh kes import hari ini, beliau berkata, terdapat dua kes import baharu di Kuala Lumpur melibatkan seorang rakyat Malaysia yang baru pulang dari Qatar manakala seorang lagi bukan warganegara Malaysia yang baru tiba dari India.

Selangor merekodkan satu kes import baharu iaitu warganegara Malaysia yang baru pulang dari New Zealand.

Jumlah pesakit telah sembuh dan didiscaj pada hari ini adalah seramai 51 orang, menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 722.

Jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia setakat jam 12 tengahari hari ini adalah 10,167 kes dengan kira-kira 91.6 peratus atau 9,135 telah sembuh dan didiscaj.- MalaysiaGazette