Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Ahmad Marzuk Shaary dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan berbual bersama sebahagian pemimpin NGO Islam pada Perjumpaan Khas Perdana Menteri Bersama Pemimpin-Pemimpin Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO Islam) di Puspanitapuri, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 19 SEPTEMBER 2020

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi komitmen kerajaan akan lebih responsif dan sensitif terhadap badan-badan kerajaan (NGO) Islam.

Beliau turut berkongsi pendirian yang sama dengan NGO-NGO Islam yang mahu usaha-usaha mengangkat kesucian agama Islam dan menjaga kemurniaan akidah Muslim.

Katanya, beliau menyedari pengaruh ideologi liberalisme dan sekularisme, LGBT serta gerakan menuntut undang-undang Islam dimasuhkan telah menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam di negara ini yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Bagaimanapun menurut beliau, dalam usaha mempertahankan kesucian agama Islam dan kemurnian akidah umat Islam, semua pihak tidak boleh mengambil pendekatan melampau sehingga menimbulkan keresahan masyarakat majmuk di negara ini.

Tegasnya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk amalan ekstremisme yang boleh menggugat keharmonian kaum, ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang menyebarkan fahaman ekstremise tanpa mengira agama, ujarnya.

Justeru menurut Muhyiddin, dalam usaha membela kedudukan Islam dan kemurnian akidah Muslim, pendekatan yang perlu diambil adalah berprinsipkan hikmah dan nasihat.

“Saudara dan saudari mahu supaya kerajaan istiqamah dalam mempertahankan akidah umat Islam dan kedudukan agama Islam sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri-negeri.

“Pelbagai pandangan dikemukakan kepada pihak kerajaan termasuklah sebahagiannya terkandung di dalam resolusi yang disampaikan kepada saya pada hari ini.

“Saya amat mengalu-alukan segala pandangan yang disampaikan oleh para pimpinan NGO Islam.

Malah, saya juga mempunyai pendirian yang sama mengenai betapa pentingnya kita memberikan keutamaan kepada usaha-usaha untuk mengangkat kesucian agama Islam, memelihara kemurnian akidah umat Islam, mempertahankan keabsahan undang-undang Islam, meningkatkan syiar Islam menerusi usaha-usaha dakwah dan tarbiyyah, menambah baik kualiti sistem pendidikan Islam, mengembangkan keupayaan ekonomi umat Islam, memperkasa institusi-institusi yang menyumbang kepada kemajuan umat Islam dan memperkukuhkan perpaduan ummah.

“Ini semua adalah sebahagian penting daripada perjuangan umat Islam di negara ini yang mesti terus diperkasakan. Justeru, saya amat menyambut baik peranan yang dimainkan oleh NGO Islam bersama-sama dengan pihak kerajaan untuk sentiasa bertukar pandangan dan saling memperkukuhkan peranan masing-masing dalam memelihara kedudukan dan kesucian agama Islam di negara kita,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Perjumpaan Khas bersama pemimpin-pemimpin NGO Islam di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.