Hujah agama, yang diguna pakai golongan profesional bukan daripada bidang perubatan dan penjual produk-produk alternatif, mengenai keburukan vaksin adalah antara punca ramai ibu bapa menolak pengambilan vaksin untuk kesihatan anak-anak mereka, kata seorang pakar perubatan kesihatan awam.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia akan menyertai pelan peruntukan vaksin Covid-19 global, COVAX, bagi memperoleh sebahagian daripada bekalan vaksin virus itu.

Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, ketika ini kerajaan sedang membincangkan terma penyertaan Malaysia itu dengan Pakatan Vaksin Global (GAVI) yang mengendalikan COVAX.

“Kerajaan Malaysia juga sedang menyediakan perjanjian untuk menyertai Gabungan Bagi Inovasi Persediaan Epidemik (CEPI) dan perjanjian kerajaan dengan kerajaan (G2G) bersama Kerajaan China untuk mendapatkan akses kepada vaksin yang dibangunkan syarikat farmaseutikal di negara itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan juga telah menandatangani ‘non-disclosure agreement’ dengan beberapa syarikat farmaseutikal antarabangsa yang sedang menguji vaksin Covid-19 pada peringkat fasa ketiga, untuk berunding mengenai bekalan vaksin yang bakal mendapat kelulusan.

“Pendekatan menyertai COVAX, menjalinkan kerjasama strategik bersama negara lain dan berunding terus dengan syarikat farmaseutikal itu akan memastikan Malaysia mendapat bekalan vaksin mencukupi serta pada kadar segera dengan harga berpatutan apabila vaksin berkenaan terbukti selamat dan berkesan,” ujarnya.

Bagi tujuan itu katanya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin akan menyelaraskan perjanjian itu bagi pihak Kerajaan Malaysia. – MalaysiaGazette