Beginilah keadaan kereta yang dihempap struktur konkrit ketika melalui kawasan projek pembinaan SUKE di Jalan Lingkaran Tengah 2, berhampiran Terminal Bas Bersepadu pada 19 September lalu.

KUALA LUMPUR – Insiden kemalangan di tapak pembinaan Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) wajar dijadikan amaran penggera kepada semua pihak untuk melihat semula Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.

Akta itu sewajarnya dipinda semula agar hukuman serta denda  jauh lebih berat dikenakan kepada para peserta industri yang gagal mengambil langkah-langkah keselamatan tahap tertinggi bagi membendung kemalangan terutamanya membabitkan keselamatan orang awam.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr Jacob George berkata, denda sebanyak RM50,000 yang dikenakan di bawah Seksyen 15,16, 17 dan 18 akta tersebut sangat ringan dan tidak memadai.

Oleh itu, sudah sampai masanya, Kementerian Sumber Manusia meminda OSHA 1994 dengan hukuman dan denda setimpal dengan kecuaian yang dilakukan oleh peserta industri di tapak-tapak projek pembinaan.

Jacob George

Katanya, kes kecuaian di tapak pembinaan telah membunuh beberapa nyawa sejak kebelakangan ini namun insiden berkenaan tidak diambil iktibar kerana denda yang dikenakan sangat murah.

“Seperti mana Kementerian Pengangkutan Jalan meminda aktanya bagi membendung kemalangan berpunca daripada pemandu mabuk, seharusnya Kementerian Sumber Manusia juga berbuat demikian.

“Jangan jadikan nyawa orang ramai begitu murah disebabkan kecuaian yang sengaja dilakukan,” katanya sambil melahirkan rasa bimbang dengan insiden yang berlaku kelmarin.

Dalam kejadian kelmarin, seorang wanita nyaris maut apabila keretanya ditimpa batu konkrit bersaiz satu meter persegi dari struktur pembinaan SUKE yang jatuh di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), di Bandar Tasik Selatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menghala Ampang itu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada tangan.

Jacob yang kesal dengan insiden itu mempersoalkan sama ada Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) pernah memantau kerja-kerja yang sedang berjalan di tapak-tapak projek.

Ini kerana, beberapa kejadian yang tidak diingini membabitkan projek SUKE telah beberapa kali berlaku, malah dalam kalangan netizen turut berkongsi maklumat dan gambar tentang kerja-kerja yang dijalankan menimbulkan kebimbangan keselamatan pengguna jalan raya.

“Soalan saya adakah JKKP ini pernah tak turun padang atau mengadakan lawatan mengejut bagi memantau kerja-kerja ini, kalau ada pernah ambil tindakan atau teguran atau tidak?” soalnya.

Jacob berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang memiliki perundangan yang lengkap daripada pelbagai aspek, soalnya adakah ia dilaksanakan dengan baik atau sebaliknya.

Katanya, sudah sampai masanya negara melaksanakan hukuman keras ke atas mana-mana pemaju yang melanggar syarat dan peraturan binaan supaya masyarakat yang merupakan pihak berkepentingan di negara ini berasa selamat ketika berada di mana-mana.

“Tengok semula hukuman dan denda, kalau hukuman ringan, dinaikkan. Kalau denda murah, ditambah supaya ia boleh dijadikan peringatan untuk mematuhi dan menghormati semua peraturan yang ditetapkan.

“Kalau tidak, apa gunanya mewujudkan peraturan jika tidak dilaksanakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Wanita cedera di tangan akibat kepingan konkrit jatuh menghempap kereta

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast