Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Sebanyak 82 kes baharu yang telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid- 19 di Malaysia adalah sebanyak 10,358 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak itu kini adalah 665 kes.

Jelas beliau, mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Dimaklumkan daripada 82 kes baharu yang dilaporkan, 10 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara. Ia melibatkan sembilan warganegara dan satu bukan warganegara dari India iaitu sembilan kes dan Indonesia iatu satu kes dilaporkan di Sarawak yang melibatkan bukan warganegara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Noor Hisham memberitahu, daripada 72 kes penularan di dalam negara, 60 kes adalah warganegara Malaysia dan 12 kes adalah bukan warganegara.

Jelas beliau perincian kes penularan Covid-19 dalam negara adalah Sabah sebanyak 60 kes, Kedah (10 kes) dan masing-masing satu kes di Selangor dan Sarawak.

Sehingga kini, katanya, terdapat sembilan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah sebanyak 130 kes atau 1.26 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Sementara itu, terdapat 168 kes yang telah pulih Covid-19 pada hari ini.

Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 9,563 kes atau 92.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – MalaysiaGazette