Hamzah Zainudin

KOTA KINABALU – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang menjadi antara masalah utama di Sabah.

Beliau berkata, agenda menyekat kemasukan kumpulan-kumpulan PATI menerusi lorong tikus sentiasa dijalankan secara konsisten.

“Kita akan teruskan segala apa agenda yang dirancang awal, untuk memastikan mereka yang tinggal hanya yang ada dokumen sahaja.

“Yang tidak ada dokumen selepas ini akan dihantar pulang, kita nak pastikan mereka tahu kalau mereka hidup di sini tanpa pengesahan daripada mana-mana mereka tahu macam mana jalan nak masuk menggunakan lorong tikus, mereka juga tahu macam mana nak keluar dengan jalan lorong tikus,” katanya ketika sidang media.

“Saya nak maklumkan sehingga semalam kita punya operasi selepas saya umum beberapa hari sudah, kita sudah tangkap 24 orang daripada Tawau dan Lahad Datu. Ini menunjukkan kita sentiasa menjalankan tugas,” ujarya.

Beliau turut menepis dakwaan mengatakan Perikatan Nasional (PN) tidak dapat menjatuhkan Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Sabah (PRN) Sabah kali ini.

Hamzah berkata, dakwaan tersebut dikemukakan oleh calon Warisan di Dewan Undanan Negeri (DUN) Kiulu, Madius Tangau.-MalaysiaGazette