Parti Warisan Sabah (Warisan) sudah mengenal pasti calon untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang namanya akan diumumkan Presiden parti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.- Gambar hiasan.

MESKIPUN penularan pandemik Covid-19 semakin ketara dengan peningkatan kes jangkitan di Sabah terutamanya di Tawau, Semporna dan beberapa kawasan lain di timur Sabah namun pilihan raya negeri (PRN) Sabah ke-16 dijangka tetap akan diadakan pada 26 September ini.

Berdasarkan laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan pada kali ini berbanding dengan 60 kerusi sahaja pada PRU14. Seramai 447 calon yang mewakili pelbagai parti dan juga bebas bertarung untuk menentukan siapakah yang akan memegang tampuk kerajaan Sabah.

Seramai 1.12 juta pengundi layak untuk mengundi pada kali ini.

Dalam pada itu, sebuah gabungan baharu iaitu Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diumumkan untuk menentang Warisan Plus.

GRS ini disertai oleh Perikatan Nasional Sabah (Bersatu,STAR dan SAPP , Barisan Nasional Sabah (UMNO,MCA dan PBRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Sejumlah besar kerusi daripada 73 DUN  ditandingi oleh calon GRS.

Sementara itu, Parti Cinta Sabah (PCS), sebuah parti baharu dalam medan politik Malaysia juga dilihat berusaha untuk menonjolkan diri sebagai parti barisan hadapan dalam PRN Sabah.

Calon-calon PCS didapati bertanding dalam hampir kesemua DUN pada kali ini. Bukan itu sahaja, calon-calon bebas juga didapati bertanding dalam hampir semua kerusi pada kali ini.

Pertandingan pada kali ini  juga dilihat sedikit luarbiasa kerana berlaku pertembungan sesama parti-parti bersekutu.

Parti-parti dalam Gabungan BNPN atau GRS didapati bertanding antara  sesama rakan bersekutunya  iaitu antara calon BN /PN/PBS/STAR.

Manakala, hal ini tidak berlaku dalam kalangan Warisan Plus.

Kepimpinan Warisan Plus bijak mengatur strategi mengelak pertembungan antara calon parti-parti yang bersekutu di bawah Gabungan Warisan Plus iaitu calon antara parti Warisan, DAP, UPKO, Amanah dan PKR.

Selain itu, semangat kesepakatan yang wujud antara pemimpin  PN dan BN baik di peringkat  nasional  mahupun di peringkat negeri didapati masih belum terjemah sepenuhnya dalam peringkat DUN.

Hal itu dapat dilihat dalam peruntukkan kerusi  kepada parti-parti komponen GRS.

Pengagihan kerusi dalam parti-parti di bawah GRS  atas dasar kemuafakatan dilihat bukan sahaja menimbulkan rasa tidak puas hati malah mengecewakan sebahagian besar penyokong parti  komponen BNPN  yang lain kerana tidak mendapat  kerusi untuk bertanding pada kali ini.

Meskipun parti dan calon tempatan menjadi pilihan utama pengundi Sabah namun dalam masa yang sama, pengundi Sabah juga semakin bijak dalam membuat keputusan politik.

Pengundi Sabah dijangka akan meneliti janji janji yang ditawarkan oleh parti-parti yang bertanding sebelum membuat keputusan mengundi pada kali ini.

Meskipun Aku Janji yang ditawarkan oleh GRS  menarik hati dan minda, namun janji untuk membina sebuah negeri Sabah berteraskan rakyat tulin Sabah oleh Warisan Plus juga didapati memikat hati  dan menimbulkan sentimen dalam kalangan sebahagian besar pengundi Sabah.  

Sementara itu, timbul pula persoalan yang berlegar  dalam pemikiran pengundi Sabah iaitu adakah parti GRS yang disokong oleh Putrajaya  akan membela kebajikan mereka sama seperti rakyat di Semenanjung serta memartabatkan Perjanjian Malaysia 63 yang merupakan impian rakyat Sabah sekian lama?  

Adakah parti Warisan Plus  yang didakwa gagal untuk  melestarikan pembangunan  ekonomi negeri Sabah sejak mengambil alih tampuk kerajaan negeri pada PRU14 itu mampu membela rakyat Sabah tanpa sokongan Putrajaya?

Adakah  Warisan boleh dipercayai lagi kerana Warisan selaku sekutu  kerajaan PH dahulu  gagal menunaikan  janji  untuk memartabatkan Perjanjian Malaysia 63?

Sementara itu, pengumuman kononya  calon daripada parti Bersatu akan dilantik sebagai ketua menteri sekiranya GRS memperoleh kerusi majoriti dilihat menimbulkan pelbagai persoalan yang terbungkam dalam minda sebahagian b esar penyokong BN UMNO.

Persoalannya adakah calon daripada UMNO (BN) akan diketepikan, walaupun BN/UMNO memenangi kerusi majoriti?  

Perlu ingat kemenangan calon BN  dalam beberapa pilihan raya kecil  berturut–turut di Semenanjung akhir-akhir ini bukanlah isyarat bagi kemenangan BN pada PRN Sabah.  

Kemenangan BN di Semenanjung  adalah disebabkan oleh pelbagai faktor dan antaranya faktor kekuatan Muafakat Nasional yang mendapat sokongan bukan sahaja sebahagian besar pengundi Melayu malah juga dapat sokongan daripada komponen BN terutamanya pengundi India.

Analisa menunjukkan BN memperoleh  kemenangan hebat kerana ahli dan penyokong Pas dan MIC yang menolak calon BN (UMNO) pada PRU-14 kini mengalihkan sokongan  mereka kepada calon BN.

Persoalannya, adakah  pengundi Sabah yang memihak kepada Warisan pada PRU-14 akan  mengalihkan sokongan mereka kepada calon BN/PN seperti  pola pengundian yang berlaku di Semenanjung?

Ramai mengandaikan pertembungan antara sesama parti bersekutu dalam GRS dijangka akan membantutkan  peluang bagi BN/PN untuk merampas kerajaan Sabah daripada Warisan.

Malah penyertaan calon PCS dan bebas di hamir semua DUN juga dijangka akan memecahkan undi sokongan kepada PNBN, terutama dalam kalangan pengundi  bumiputera Islam.

Memandangkan kempen daripada GRS dan Warisan Plus sama-sama hebat,  maka sukar untuk mentafsirkan siapa akan mengungguli PRN Sabah kali ini.

Namun, ada pihak yang berpendapat peluang kemenangan  bagi kedua-dua parti utama yang bertarung hebat  pada kali ini adalah seimbang iaitu  50-50.

Apa pun sentimen  semasa  pengundi Sabah jelas menunjukkan mereka dijangka akan memberikan satu kejutan kepada para penganalisis dan pemerhati politik dengan keputusan  politik mereka yang luar jangkaan pada tarikh keramat, 26 September 2020 nanti. – MalaysiaGazette

Datuk M Periasamy, Penganalisis politik, ekonomi dan sosial

Periasamy