SEPANG – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkongsi pengalaman beliau pernah bertemu Abdul Kahar Ahmad yang mendakwa dirinya Rasul Melayu.
Beliau berkata, pada pertemuan ketika itu sebagai Mufti Wilayah Persekutuan, Abdul Kahar mengakui sudah bertaubat selepas dimasukkan dalam Penjara Kajang.
Jelas beliau, jika seseorang itu sudah bertaubat, ia perlu diterima oleh individu lain.
“Rasul Melayu ini bukan cerita baru, ia cerita lama semasa saya jadi mufti dulu ketika dia dimasukkan ke Penjara Kajang. Saya ada bertemu dia dan dia ada bagi tahu kita, dia sudah bertaubat. Bila orang sudah bertaubat kita terima.
“Sementelah sampai sahaja di Selangor dia sendiri buat istitabah (memohon taubat) dan kalau macam itu selepas ini kita akan buat pemerhatian khusus.
“Kita akan tengok setakat mana kita mampu dan itu terkait kepada Negeri Selangor dan kita akan cuba dapatkan maklumat bagaimana proses selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia di Sama-Sama Hotel KLIA di sini hari ini.
Persidangan itu dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Beliau diminta mengulas penahanan semula Abdul Kahar yang kembali aktif menyebarkan ajaran diharamkan pada 1991 ditahan bersama 16 pengikutnya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di tiga lokasi berbeza.
Dia ditahan di sebuah rumah di Kemensah, Ulu Klang selepas empat tahun dibebaskan.
Abdul Kahar dan pengikutnya dipercayai mengamalkan Ajaran Haji Kahar Bin Ahmad yang difatwakan sesat pada 28 Mac 1991 dan diwartakan pada 29 Ogos 1991 oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor.
Melalui risikan dan maklumat awam yang diterima JAIS, ajaran ini dipercayai kembali aktif dengan modus operandi (MO) baharu dan berinteraksi dengan pengikutnya menerusi kumpulan sembang WhatsApp dan Facebook.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Doktrin Palsu); Seksyen 8, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Dakwaan Palsu) dan Seksyen 12(c), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Menghina Pihak Berkuasa Agama).
Selain turut disiasat mengikut Seksyen 13, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor)1995 (Pendapat yang Bertentangan Dengan Fatwa); Seksyen 16,Enakmen Jenayah Syariah (Selangor)1995 (Penerbitan Agama yang Bertentangan Dengan Hukum Syarak) dan Seksyen 52, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Percubaan).
Pada Oktober 2009, Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan Abdul Kahar dipenjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan bersabit kes penyebaran ajaran sesat sebelum dibebaskan pada Mei 2016. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: