Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat tangan ke arah orang ramai yang hadir pada Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Luyang, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 23 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Datuk Seri Anwar Ibrahim fikir beliau layak menjadi Perdana Menteri dengan mengatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi menerima sokongan majoriti.

Itu kata Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Dewan Undangan Negeri (DUN) Luyang, di sini malam ini.

Pada masa sama Muhyiddin sekali lagi menegaskan, beliau masih memegang jawatan ketua pentadbiran kerajaan persekutuan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Jika puan-puan yang lihat saya hari ini agak tertanya-tanya sama ada saya berdiri di sini masih jadi Perdana Menteri lagi atau tidak.

“Saya sebutkan begitu kerana pada hari ini ada seorang pemimpin parti pembangkang, saya tidak payah sebut nama dia yang mengatakan bahawa beliau sudah mendapat sejumlah sokongan daripada Ahli-ahli Parlimen untuk menyatakan saya sudah tidak lagi mendapat sokongan majoriti, disebabkan itu dia fikir dia adalah orang yang layak untuk menjadi Perdana Menteri.

“Saya tidak mahu persoalkan kenyataan beliau itu kerana saya hormat apa-apa pandangan daripada mana-mana pemimpin politik dalam negara kita tapi apa pun kita mesti faham dalam negara kita, kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.

“Dalam sistem demokrasi berparlimen kita juga menegakkan sistem berperlembagaan iaitu kita ada perlembagaan Malaysia yang kita gunakan sebagai asas untuk apa sahaja kita nak putus dan laksanakan,” katanya.

Menurut Muhyiddin, walaupun pun banyak dakwaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tertubuh daripada pintu belakang, hakikatnya beliau dilantik menjadi Perdana Menteri mengikut lunas undang-undang.

“Berdasarkan perlembagaan, saya sudah dipilih YDPA. Saya tidak mahu sebut orang cakap saya datang dari pintu belakang atau depan tapi saya datang dari pintu Istana,” tambahnya.

Bahang politik negara kembali hangat apabila Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan mengumumkan pada sidang media disebuah hotel bahawa beliau menerima sokongan majoriti Ahli Parlimen Melayu dan Islam bagi membentuk kerajaan baharu.

Anwar berkata, beliau sepatutnya mengadap Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) semalam, namun pertemuan itu terpaksa ditangguhkan kerana YDPA dimasukkan ke Institut Jantung Negara untuk menerima rawatan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Awas DSAI kerap temberang. Ingat temberang beliau ketika mendakwa akan jadi PM pada 16 Sept 2008 dulu. Itu temberang yg mula2 lahir dari mulut beliau. Selepas tu banyak lagi klentong beliau . Walau pun temberang, tapi ramai tokoh politik yg turut termakan. Kasian…

Comments are closed.