Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – SEbanyak tiga kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam sehingga pukul 12 tengahari, sekali gus menyaksikan jumlah kumulatif kes kematian akibat virus itu meningkat kepada 133 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ke-131 iaitu kes ke-10495 merupakan wanita warganegara Indonesia berumur 48 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Jelas beliau, mangsa mula mengalami gejala lemah badan, muntah, batuk dan demam pada 14 September lalu dan kes telah dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Tawau, Sabah pada 18 September 2020 dalam keadaan separa sedar.

Katanya, keadaan mangsa didapati merosot dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 19 September lalu dan disahkan meninggal dunia pada hari yang sama serta saringan Covid-19 didapati positif semalam.

“Kes kematian ke-132 iaitu kes ke-10493 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 54 tahun yang telah mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Semporna, Sabah pada 18 September lalu bagi gejala demam, batuk dan sukar bernafas serta saringan COVID-19 telah dijalankan.

“Keadaan mangsa didapati semakin merosot dan kemudian dirujuk ke Hospital Tawau pada 20 September lalu di mana kes dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) serta disahkan meninggal dunia semalam di mana saringan Covid-19 didapati positif.

“Kes kematian ke-133 iaitu kes ke-9224 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun dengan latar belakang penyakit strok dan telah dikesan sebagai kontak rapat kepada kes ke-9124 yang telah meninggal dunia dan merupakan kes positif dalam Kluster Tawar.

“Kes tidak bergejala ini dikesan positif Covid-19 pada 19 Ogos lalu dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan keadaan mangsa didapati merosot dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) serta disahkan meninggal dunia semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, terdapat 147 kes baharu yang dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 adalah sebanyak 10,505 kes.

Jelas beliau, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak itu adalah 770 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Ingin dimaklumkan daripada 147 kes baharu yang dilaporkan, empat kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga warganegara dari India dan satu bukan warganegara dari Indonesia;

“Daripada 143 kes penularan di dalam negara, 115 kes adalah warganegara Malaysia dan 28 kes adalah bukan warganegara. Perincian kes penularan dalam negara melibatkan Sabah sebanyak 134 kes, Kedah (lima kes), Selangor (dua kes), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (satu kes) dan Kelantan adalah satu kes.

“Sehingga kini, terdapat lapan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – MalaysiaGazette