Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar bercakap kepada media selepas hadir ke program ramah mesra bersama pengundi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di jalan Abdul Rahman, Tawau Sabah. foto MOHD ADZLAN, 22 SEPTEMBER 2020.

TAWAU – Walaupun sudah memohon maaf, namun pemimpin kanan Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohammaddin Ketapi didakwa seolah-olah tidak menyesali kesilapan beliau.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia @G57, Datuk Zulkarnain Mahdar mempersoalkan di mana Mohammaddinberada tatkala pejuang-pejuang negara menggadai nyawa mempertahankan bumi Sabah daripada pengganas.

“Lepas minta maaf, dia sebut pulak walau bagaimanapun. Seolah-olah tidak ada penyesalan langsung. Dia beritahu askar dan polis berperang dengan ayam dan anjing. Apa ini?

“Saya fikir dalam kejadian pada waktu itu dia duduk di rumah ketakutan. Ini bukan satu sandiwara tapi adalah fakta yang jelas adanya mangsa terkorban.

“Dia juga kata kapal terbang dan jet kita buat letupan merata tempat, ini satu fitnah yang jahat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau merujuk kepada kenyataan Mohammaddin yang mendakwa pasukan keselamatan “mengebom kelapa sawit dan rumah”, dan “pasukan di darat berperang dengan ayam dan anjing” pada Isnin lalu.

Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, pihaknya akan berusaha mencari peguam bagi menolong ahli keluarga perajurit yang terkorban yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas menteri itu.

“Perbuatan ini sangat-sangat tidak bertanggungjawab sebab itu kami tampil dan kita akan memberikan khidmat guaman secara percuma kepada ahli keluarga dan waris mangsa yang terkorban, dan saya fikir kita akan beri pengajaran dan menghantar mesej kepada Mohammaddin ini.

“Dia sebenarnya satu pemimpin yang kita boleh disifatkan sebagai pemimpin yang tidak boleh digunapakai di Malaysia.

“Dia tidak menghormati sensitiviti balu kepada anggota keselamatan yang terkorban. Anak-anak telah yatim, bagaimana perasaan mereka.

“Kalau boleh kita nak saman dia RM1 bilion biar dia rasa dan bagaimanapun kita akan bincang dengan panel guaman kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.