KUALA LUMPUR – Pasukan hoki Kuala Lumpur tetap optimis menjelang pertemuan separuh akhir Piala Tun Abdul Razak 2020 menentang Perak, esok meskipun mungkin tempang tanpa khidmat dua tonggak utamanya.

Musibah yang menimpa pertahanan Nor Azrul Abdul Rahman yang mengalami kecederaan serius pada bahagian lutut kiri dan kecederaan pada bahagian paha yang dialami penyerang, Shahril Saabah mencetuskan resah buat skuad ibu kota itu.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, penyertaan pemain berkenaan adalah bergantung kepada tahap kecederaan mereka, dan beliau tidak dapat menjangkakan sama ada dua pemain itu dapat beraksi pada separuh akhir.

“Bagi saya kecederaan adalah perkara biasa, pasukan lain turut mengalami perkara sama. Namun, saya percaya jurulatih (S.Selvaraju) tentunya mempunyai ramuan tersendiri, dalam menangani situasi getir ini.

“Saya percaya dengan kemampuan beliau (Selvaraju), walaupun masih muda namun dia pastinya sudah bersedia dengan taktikal tersendiri untuk menyekat kemaraan Perak.

“Setakat ini saya tidak dapat menjangkakan sama ada dua pemain ini dapat beraksi untuk esok kerana bergantung kepada tahap kecederaan. Bagi saya kecederaan adalah perkara biasa, pasukan lain turut mengalami perkara sama.

“Memang Perak turun selaku pasukan pilihan dengan dipenuhi pemain kebangsaan, tetapi saya percaya kejutan mampu dilakar kami berdasarkan faktor pasukan saya yang dibarisi pemain berpengalaman,” katanya.

Kuala Lumpur mara ke separuh akhir selepas berjaya mengatasi PDRM 3-2 dalam aksi suku akhir semalam hasil dua jaringan Shahril Saabah dan satu gol oleh Danial Asyraf.

Bagaimanapun, kemenangan itu terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi ekoran kecederaan yang menimpa Nor Azrul dan Shahril yang merupakan penjaring terbanyak Kuala Lumpur dengan lima gol.

Sementara itu, penolong jurulatih Kuala Lumpur, Herwan Pami mengesahkan pihaknya terpaksa melupakan khidmat Nor Azrul manakala status Shahril belum dapat dipastikan untuk aksi menentang Perak.

“Pasukan perubatan pasukan masih meneliti kecederaan Shahril yang mengalami kekejangan pada bahagian paha. Untuk Nor Azrul memang dia tidak akan beraksi kerana kecederaan yang dialaminya agak serius,” katanya.

Satu lagi aksi separuh akhir akan menemukan Terengganu dan Pahang juga di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast