Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 71 kes baharu yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini kini sebanyak 10,576 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus itu adalah 777 kes dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.

Jelas beliau, daripada kes baharu itu, dua kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan bukan warganegara Singapura di Johor dan warganegara Indonesia di Selangor yang melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Daripada 69 kes penularan di dalam negara, 43 kes adalah warganegara Malaysia dan 26 kes adalah bukan warganegara. Perincian kes penularan Covid-19 dalam negara mencatat 63 kes di Sabah di mana 47 kes daripada Kluster Bangau-Bangau yang melibatkan 32 kes warganegara dan 15 kes bukan warganegara.

“Kedah pula mencatat empat kes manakala Selangor pula dua kes. Sehingga kini, terdapat enam kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham menambah, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini dan jumlah kumulatif kes kematian adalah kekal sebanyak 133 kesĀ  atau 1.26 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Dimaklumkan bahawa terdapat 64 kes yang telah pulih Covid-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada virus itu adalah sebanyak 9,666 kes atau 91.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MalaysiaGazette