Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan nilai kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R naught (R0) di negara ini tidak stabil dan kembali meningkat sejak semalam.

Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, kadar itu telah naik semula kepada 1.34 iaitu melebihi 1.0 apabila nilai R0 di Sabah adalah 1.37 dan Kedah mencatat 1.15.

Jelas beliau, ketika ini lebih banyak usaha perlu dilakukan bersama bagi memutuskan penularan jangkitan Covid-19 di dalam komuniti dan sekiranya tiada urusan di luar, masyarakat dinasihatkan supaya kekal berada di rumah.

“Di Sabah, pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membangunkan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti berkempen dan
mengundi.

“KKM merayu, patuhilah SOP tanpa mengira status dan kedudukan dalam masyarakat. Bantulah negara dalam mengawal penularan Covid-19 ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, walaupun kebanyakan kawasan di negara kini sudah bertukar menjadi zon hijau, namun KKM ingin mengingatkan bahawa kes Covid-19 masih berada
di dalam komuniti kita.

Menurutnya, pembahagian warna zon hijau, kuning, dan merah adalah berdasarkan bilangan kes setempat dalam masa 14 hari kebelakang.

“Sehingga hari ini, terdapat lima kawasan di Malaysia yang sudah bertukar menjadi zon merah. Terdapat empat zon merah di Sabah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna.

“Satu lagi zon merah di Kedah iaitu Kota Setar,” katanya.

Malaysia mula mencatatkan nilai R0 penularan jangkitan Covid-19 yang tinggi pada 7 September lalu berikutan situasi peningkatan kes di Sabah dan Kedah apabila nilai di kedua-dua negeri ini telah memberi kesan besar terhadap nilai Rt bagi negara. – MalaysiaGazette