Frank de Boer Pengurus baharu Belanda

AMSTERDAM – Bintang legenda Ajax, Frank de Boer diangkat sebagai ketua jurulatih baharu pasukan kebangsaan Belanda hari ini.

Beliau mengisi kekosongan yang telah ditinggalkan oleh Ronald Koeman yang telah mengambil tanggungjawab baharu mengemudi pasukan gergasi Eropah dan La Liga Sepanyol, Barcelona pada Ogos lalu.

Boer, 50, diikat dengan kontrak dua tahun termasuk mengemudi pasukan ke Piala Dunia Qatar 2022.

Sebelum itu, de Boer pernah mengemudi pasukan Inter Milan dalam Serie A Itali sebelum berhijrah ke Liga Perdana Inggeris sebagai pengurus Crystal Palace dan ke kelab MLS iaitu Atlanta United dari Disember 2018 hingga Julai 2020.

Beliau juga pernah menjadi penolong pengurus Belanda kepada Bert van Marwijk yang berjaya membawa Belanda beraksi dalam aksi Final Piala Dunia Afrika 2010.

Selepas ini de Boer bertanggungjawab menyiapkan pasukannya berdepan aksi persahabatan menentang Mexico di Amsterdam pada 7 Oktober ini dan Liga Kebangsaan bersama Bosnia Herzegovina serta Itali pada 11 dan 14 Oktober ini.-MalaysiaGazette