Kerajaan membuat keputusan untuk mengekalkan subsidi kos kuarantin yang dikenakan kepada warga negara Malaysia seperti sebelumnya.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan membuat keputusan untuk mengekalkan subsidi kos kuarantin yang dikenakan kepada warga negara Malaysia seperti sebelumnya.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bermakna rakyat Malaysia yang dikuarantinkan hanya perlu membayar kos penginapan sebanyak RM2,100 sahaja manakala kos pengoperasian sebanyak RM2,600 kekal ditanggung oleh kerajaan.

Bagaimanapun, berkuatkuasa hari ini, semua warganegara asing yang memasuki pintu masuk antarabangsa Malaysia perlu membayar caj penuh tersebut.

“Bagi Bukan Warganegara pula, mereka perlu membayar caj penuh tanpa subsidi kerajaan pada kadar RM4,700 (RM2,600 caj tetap pengoperasian dan RM2,100 kos penginapan).

“Bagi individu kedua dan ketiga yang berkongsi bilik dengan individu pertama, kos penginapan adalah separuh iaitu RM700, manaka bagi anak yang berumur di bawah enam tahun kos penginapan adalah percuma.

Kerajaan sebelum ini telah memutuskan bahawa caj kuarantin bagi semua individu yang memasuki pintu masuk negara adalah di bawah tanggungan sendiri.

Arahan itu telah dimulakan dengan pungutan caj kepada anak kapal (seafarers) Bukan Warganegara sahaja.

Sejak 24 Julai sehingga 23 September 2020, seramai 33,534 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 67 Hotel dan 8 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

Daripada jumlah itu, seramai 8,005 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 103 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

Seramai 25,426 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

Mereka telah pulang dari 33 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand & Amerika Syarikat.- MalaysiaGazette