Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr. Jeyakumar (kiri) bersama pembeli rumah, Angamuthu (kanan) bercakap kepada media selepas membuat bantahan tindakan RHB Bank melelong rumah yang sudah selesai dibayar di RHB Centre, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto ISKANDAR HAMIDI 24 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Parti Sosialis Malaysia (PSM) melahirkan rasa lega apabila pihak RHB Bank Berhad memberi jaminan untuk menangguhkan tindakan melelong sebuah rumah seorang peminjam di Sungai Siput, Perak hari ini.

Pengerusinya, Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata, keputusan itu dicapai selepas pihaknya mengadakan pertemuan hampir satu jam bersama pegawai di bahagian pinjaman perumahan bank tersebut.

“Apa yang pihak bank boleh buat ialah mereka akan tangguhkan prosiding (lelong rumah) di pejabat tanah, mereka akan kaji balik tindakan itu.

“Sekarang kita tunggu pihak bank bagi satu tawaran secara hitam putih. Pihak bank kata hujung minggu boleh beritahu (tawaran baharu) minggu depan pun okay.

“Mereka akan hubungi anak perempuan peminjam, dia akan beritahu keputusan tawaran,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di pekarangan Ibu Pejabat RHB Bank hari ini.

Terdahulu hasrat hampir 10 ahli PSM untuk mengadakan bantahan dan demonstrasi di hadapan RHB Bank dibatalkan apabila mereka diajak berunding secara baik.

Bantahan terhadap tindakan bank melelong sebuah rumah di Sungai Siput, Perak dengan membawa kain rentang sepatutnya diadakan jam 11 pagi tadi bagaimanapun dihalang pihak keselamatan bank terbabit.

Mengikut rekod, peminjam terbabit telah membuat pinjaman perumahan berjumlah RM80,000 selama 17 tahun pada tahun 2001 daripada RHB Bank.

Bagaimanapun peminjam, Angamuthu Munusamy mendakwa dia telah membayar pinjaman itu secara ansuran selama 19 tahun namun masih ada tunggakan sebanyak RM50,000.

Sementara itu, Jeyakumar menggesa RHB Bank menurunkan kadar faedah penalti yang tinggi kepada kadar faedah semasa secara automatik selepas bayaran ansuran tunggakan dilunaskan oleh peminjam.

“Apabila berlaku tunggakan, dia punya caj faedah BLR +1.75 naik kepada BLR +3.5, kadar ini naik secara automatik. Lepas itu (bayar tunggakan) kadar faedah mesti dikurangkan balik, kadang-kala tak kurang balik pun, kadar itu diletak di atas selama-lamanya.

“Faedah itu dia kumpul, bila campur kompaun, keuntungan lagi, akhirnya dia jadi jumlah yang sangat tinggi.

“Kita minta semua bank mesti ada sistem automarik, bila dia sudah bayar balik, kadar faedah kena turun balik kepada kadar normal (semasa),” katanya.

Jeyakumar juga melahirkan rasa kesal apabila pihaknya mahu membuat demonstrasi di hadapan bank, barulah pihak bank mahu melihat perkara itu dengan serius.

“Bukan macam ini kita kena datang sini buat demo baru nak tengok ini kes. Tak tahu berapa banyak lagi kes macam ini, bila peminjam ada masalah, dia tak bayar, faedah naik dia kena datang bank buat permohonan rasmi untuk turunkan kadar faedah.

“Kita harap bank lain dapat tengok isu ini, bila kadar faedah boleh naik automatik, kena turun balik secara automatik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette