Chelsea mengamuk dalam aksi Piala Carabao menentang Barnsley dengan merekodkan kemenangan 6-0 malam tadi

LONDON – Gol hatrik Kai Havertz dalam aksi Piala Carabao EFL membantu Chelsea membinasakan lawannya Barnsley 6-0 malam tadi.

Pengurusnya, Frank Lampard berkata, ia adalah gol pertama bintang antarabangsa Jerman itu untuk the Blues selepas berpindah ke Stamford Bridge dengan nilai £71 juta awal September ini.

Pesta gol Chelsea bermula seawal minit ke-19 apabila Abraham membuka jaringan pertama diikuti Havertz pada minit ke 28, 55 dan 65, Ross Barkley, minit ke-49 dan Oliver Giroud melengkapkan kemenangan dengan gol keenam pada minit ke-83.

“Saya sangat tertarik dengan persembahan Kai di atas padang yang sangat meyakinkan semua. Kai tidak menyertai aksi pramusim pasukan tetapi hari ini dia membuktikan kebolehannya dengan menjaringkan hatrik,” ujar Lampard.

Katanya gandingan Kai dengan Tammy adalah kombinasi mantap yang akan membantu pasukan melangkah jauh dalam kancah liga domestik dan liga lain peringkat Eropah.

Blues bakal bertemu Tottenham atau Leyton Orient pada pusingan keempat nanti.

Dalam satu lagi perkembangan Carabao, aksi antara Tottenham dan Leyton telah ditangguh selepas 18 pemain dalam pasukan Leyton dikesan positif Covid-19 dan terpaksa dikuarantin ketat.

Perbincangan sedang berlangsung untuk mencapai penyelesaian berikutan situasi kritikal itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast