Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 111 kes positif Covid-19 direkodkan CPRC Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini di mana 107 kes adalah penularan tempatan dan empat lagi kes import.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada 107 kes penularan di dalam negara, 76 kes adalah warganegara Malaysia dan 31 kes adalah bukan warganegara.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,687 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 858 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Noor Hihsam, daripada empat kes import itu, dua daripadanya dari Indonesia, iaitu satu kes dilaporkan di Selangor yang melibatkan pendatang asing tanpa Izin (PATI) dan satu kes lagi di Kuala Lumpur.

“Manakala dua lagi kes import di mana satu kes dari India yang dilaporkan di Kuala Lumpur dan satu lagi kes dari Singapura yang dilaporkan di Johor,” katanya.

Dalam pada itu, menurut beliau, bagi 107 kes penularan di dalam negara pula, 76 kes daripadanya adalah warganegara Malaysia manakala 31 kes pula adalah bukan warganegara.

Daripada 107 kes penularan di dalam negara, 97 kes dari Sabah daripada kluster Bangau-Bangau (74), Kluster Benteng LD (13), Kluster Laut (2), kes saringan rujukan ke hospital (2), kes saringan di tempat kerja (1), kes saringan bergejala (1), kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Tawau (1) dan kes saringan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) (1).

“Sebanyak lapan kes dari Kedah di mana lapan kes daripada Kluster Sungai dan tujuh kes SARI dan satu di Hospital Sultanah Bahiyah. Satu kes dari Pahang melibatkan kes saringan bergejala yang mempunyai sejarah pulang dari Semporna, Sabah.

“Manakala satu lagi kes dari Selangor merupakan kes saringan bergejala yang mempunyai sejarah pulang dari Kota Kinabalu, Sabah,” katanya.

Selain itu, katanya, setakat ini terdapat empat kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.

Setakat jam 12 tengah hari ini, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 133 kes iaitu 1.24 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya lagi. – MalaysiaGazette