Calon Warisan N.12 Sulaman, Datuk Aliasgar Basir sempat beramah mesra dengan pengundi selepas selesai pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Sekolah Kebangsaan Serusup, Tuaran, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 26 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Tiga jam sebelum proses pengundian berakhir, sebanyak 54 peratus pemilih berdaftar di Sabah telah keluar mengundi setakat 2 petang tadi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Jumlah itu meningkat berbanding 48 peratus pada 1 tengah hari.

SPR menyasarkan antara 70 hingga 75 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab mereka sehingga pusat pengundian ditutup sepenuhnya pada 5 petang ini.

Sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baharu pada PRN ke-16.

Proses pengundian yang melibatkan 1,088,711 pengundi biasa, dikendalikan 17,257 petugas pilihan raya sehingga waktu mengundi tamat.

— BERNAMA