MELAKA – Jika pada awal kepimpinannya sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 berdepan pelbagai persepsi dan kritikan, pandangan sebahagian penduduk negeri ini terhadap Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kini mula berubah.
Ia selepas mereka menyaksikan sendiri kesungguhannya turun padang dan melaksanakan agenda pembangunan untuk rakyat.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, perubahan sentimen itu dapat dilihat menerusi komen netizen di media sosial yang semakin menerima Ab Rauf atau dikenali Tok Rauf selepas tiga tahun lima bulan menerajui pentadbiran negeri sebaik sahaja mengangkat sumpah pada 31 Mac 2023.

Antaranya, pengguna Facebook Tok Dalang’s yang mengakui pada awalnya tidak menyukai Tok Rauf kerana cara beliau mengambil alih jawatan ketua menteri, namun mengubah pandangan selepas melihat kesungguhannya bekerja untuk rakyat.
“Tok Rauf ok dah. Aku mula-mula tak suka Tok Rauf sebab cara dia ambil kuasa dengan Tok Leman, tetapi bila tengok kesungguhan dia pada rakyat Melaka, orang sebegini harus dia kekalkan,” katanya.

Ab Rauf mengetuai kerajaan negeri susulan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 kerana masalah kesihatan
Pandangan hampir sama turut disuarakan Hafezul Latif yang mengakui pernah membuat penilaian awal terhadap ADUN Tanjung Bidara itu berdasarkan persepsi, namun kemudian mendapati beliau mampu melaksanakan tugas dan kerap turun ke lapangan.
“Awal-awal saya termakan fitnah dan judge daripada fizikal dia. Lama-lama dia ini boleh buat kerja rupanya. Dan rajin turun bawah, Jauh dari expectation awal,” katanya.

Pengguna Facebook Abu Kalila yang bukan berasal dari Melaka tetapi sudah hampir lapan tahun menetap di negeri itu bersama keluarga turut memberikan pandangan positif terhadap kepimpinan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka itu.
Menurutnya, Ab Rauf merupakan pemimpin yang lebih banyak bertindak berbanding bercakap selain tidak menjadikan aktiviti turun padang sebagai sesuatu yang bermusim.
“Saya bukan orang Melaka dan tak lahir di Melaka. Cuma dah dekat lapan tahun menetap di Melaka dengan keluarga. Tok Ab Rauf Yusoh ini pemimpin yang humble.
“Jenis lebih kepada action atau buat kerja daripada bercakap, turun padang bukan bermusim. Tahniah orang Melaka dapat pemimpin macam ini asyik lebihkan rakyat je,” katanya.

Farhan Rosli menyifatkan sebahagian wakil rakyat UMNO pimpinan Tok Rauf sebagai “muka yang dipercayai buat kerja”, manakala Muhammad Faiz Zulkifli Auni berkata kehadiran mereka masih memberikan kepercayaan kepada UMNO dan BN.
Othman Jaya pula menyifatkan kepimpinan berkenaan perlu dikekalkan dan menyeru supaya usaha memperkukuh BN dan UMNO di Melaka diteruskan.

“Ya, amat setuju. Kekalkan satu jiwa satu harapan agar BN UMNO maju ke depan,” katanya.
Nani Nasri turut menyifatkan Ab Rauf dan pasukannya sebagai “cukup bagus dan baik”, selain berharap kepimpinan berkenaan membuat keputusan terbaik untuk rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Fakhri Shatibi pula berkata, Rauf sering dilihat turun menghadiri pelbagai program bersama rakyat.
“Tok Rauf selalu turun, banyak program. Lima tahun pun pengamatan,” katanya.
Situasi itu turut memberi gambaran bahawa penilaian terhadap kepimpinan Ab Rauf kini lebih banyak dibuat berdasarkan rekod kerja dan kehadirannya di lapangan berbanding polemik politik ketika beliau mula mengambil alih kepimpinan negeri. – MalaysiaGazette
















