Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin

KUALA LUMPUR – Pas perlu menjelaskan sama ada wakilnya dalam kerajaan Negeri Sembilan menyokong atau membantah keputusan Exco negeri berhubung proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Danish Hairudin menegaskan, persoalan itu wajar dijawab secara terbuka kerana Pas mempunyai wakil dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), manakala Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum ini mengesahkan keputusan berkenaan dibuat secara sebulat suara oleh semua ahli Exco.

“Adakah wakil Pas turut menyokong keputusan itu? Jika menyokong, tampil dan pertahankannya. Jika membantah, nyatakan bila bantahan itu dibuat dan mengapa Menteri Besar mengumumkannya sebagai keputusan sebulat suara,” katanya selepas kenyataan hari ini.

Danish berkata, Pas tidak boleh berdiam diri seolah-olah krisis yang menyentuh kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan itu tidak mempunyai kaitan dengan parti berkenaan.

Beliau turut mempersoalkan pendirian Pas memandangkan parti itu mempunyai wakil dalam pentadbiran negeri yang terlibat secara langsung dalam keputusan berkenaan.

“Jangan jadikan diam sebagai jalan keluar. Pas mesti jawab. Rakyat berhak tahu siapa yang membuat keputusan, siapa yang menyokongnya dan siapa yang perlu bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, Danish menegaskan, isu tersebut bukan sekadar percaturan politik sebaliknya membabitkan tanggungjawab setiap anggota pentadbiran yang terlibat dalam sesuatu keputusan kerajaan negeri.

Katanya, pendirian Pas juga penting untuk diketahui rakyat kerana parti itu sering menyuarakan pendirian berkaitan kedudukan dan kedaulatan institusi diraja.

“Apabila wakilnya berada dalam pentadbiran yang terlibat secara langsung dalam krisis ini, rakyat berhak mendengar pendirian Pas sendiri.

“Dalam keadaan penting ketika ini, diam bukan sebuah jawapan. Pas mesti jelaskan pendiriannya dan peranan wakilnya kepada rakyat Negeri Sembilan,” tegas beliau lagi.

Krisis berkenaan tercetus susulan keputusan kerajaan negeri yang dikaitkan dengan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz yang kemudiannya mencetuskan pertikaian mengenai kesahan keputusan serta bidang kuasa kerajaan negeri dalam perkara berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here