Pelumba pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP, Valentino Rossi semasa beraksi pada hari kedua Ujian Pra Musim MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 08 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi mengesahkan penyertaannya bersama pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) bagi perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) musim 2021.

Pengumuman dinanti-nantikan itu muncul menjelang GP Catalan di Litar Barcelona-Catalunya, Sepanyol minggu ini, menyaksikan pelumba yang dikenali dengan jolokan ‘The Doctor’ itu kekal menggunakan jentera Yamaha YZR-M1 untuk tempoh sembilan musim berturut-turut tahun depan.

Pelumba kelahiran Itali itu sudah dianggap pelumba terhebat sepanjang zaman (GOAT) selepas memecah pelbagai rekod dalam kelas perdana sejak 2000, akan bergandingan dengan rakan senegaranya Franco Morbidelli.

Pada usia 41 tahun, Rossi menjadi satu-satunya pelumba yang memenangi saingan 125cc, 250cc, 500cc dan kejuaraan MotoGP menyaksikan dalam saingan kelas perdana sahaja, Rossi memenangi tujuh kejuaraan dunia, 89 perlumbaan, 199 podium, 55 petak utama dan 76 catatan sepusingan terpantas.

Sementara itu, prinsipal pasukan Datukl Razlan Razali berkata, ia adalah satu penghormatan buat SRT dan pasukan mengalu-alukan pelumba ikonik yang juga dianggap legenda menyertai pasukan itu.

“Pengalaman beliau adalah aset terbaik buat pasukan yang memasuki musim ketiga dalam saingan MotoGP dan kami yakin banyak yang boleh dipelajari daripada beliau. Pada msa sama, kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu beliau terus kompetitif sebagai penghargaan atas kepercayaannya kepada pasukan ini.

“Kami berbesar hati dengan peluang ini dan bersedia menyahut cabaran. Kami percaya kombinasi antara Rossi dan Morbidelli mampu menggegar litar dan membantu kami bersaing sebaik mungkin musim depan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sejak membuat penampilan sulung di Qatar pada 2019, SRT berjaya meraih enam kedudukan utama dan tujuh kemenangan, serta memenangi ‘Independent Teams’ Championship’ tahun lepas, sementara pada musim 2020, pasukan berjaya meraih dua petak utama, empat podium dan tiga kejuaraan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast