Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) menyapa beberapa Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan pemimpin Perikan Nasional ketika hadir untuk membincangkan mengenai lantikan Ketua Menteri Sabah di The Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 27 SEPTEMBER 2020.
KOTA KINABALU – Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS ) hari ini mengadakan pertemuan buat pertama kali selepas mencatatkan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang berlangsung semalam.
GRS merupakan gabungan kerjasama Perikatan Nasional yang dianggotai Bersatu, Star dan PBS serta Barisan Nasional (BN).
Tiga ADUN bebas yang menang dalam PRN itu turut menyatakan sokongan terhadap GRS.
Pertemuan di Magellan Sutera Harbour di sini turut dihadiri wakil-wakil ketua parti antaranya Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Mahdzir Khalid, dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.
Calon-calon yang disebut bakal menerajui kerajaan di negeri Bawah Bayu itu iaitu Datuk Hajiji Noor yang menang di kerusi DUN Sulaman dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Lamag) juga telah tiba untuk menghadiri pertemuan tersebut.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta beberapa pemimpin lain melengkapi pertemuan yang menyaksikan kerjasama bersejarah itu.
Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa dalam ciapan di laman Twitter berkata, selepas pertemuan mesra buat pertama kali itu, ketua parti Bersatu, UMNO dan PBS akan mengadap Tuan Yang Terutama negeri Sabah. 
Berita lanjut menyusul. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast