Datuk Mirnawan Nawawi

KUALA LUMPUR – Ikon hoki negara Datuk Mirnawan Nawawi dilantik sebagai pengurus pasukan lelaki negara berkuat kuasa serta-merta bagi membantu ketua jurulatih Arul Selvaraj sehingga Sukan Olimpik Paris 2024.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan pelantikan itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Eksekutif badan induk hoki negara itu di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, petang semalam.

“Kami sebulat suara bersetuju melantik Mirnawan sebagai pengurus skuad senior lelaki kebangsaan. Sudah tiba masanya kita kembali ke era dahulu apabila ikon hoki diberikan tanggungjawab mengemudikan pasukan kebangsaan.

“Sebelum ini, kita lantik jurulatih sebagai pengurus pasukan tapi kita merasakan sistem tersebut tidak memberi kesan positif kerana peranan jurulatih dan pengurus berbeza. Pengurus lebih kepada motivasi, jurulatih lebih kepada taktikal,” katanya kepada media semalam.

Mesyuarat itu turut membincangkan mengenai bekas pemain kebangsaan bagi jawatan pengurus pasukan hoki wanita serta pengurus pasukan hoki remaja.

Mengenai pelantikan pengarah teknikal Projek Khas Sukan Asia 2026, Subahan berkata tiada kata putus dimuktamadkan setakat ini.

Beliau berkata pihaknya memerlukan sedikit masa untuk membuat pertimbangan sebelum mengumumkan pelantikan jawatan baharu itu.

“Kita berharap jawatan tersebut dapat diisi sebelum Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) bermula pada 1 Okt depan,” katanya.

Jawatan berkenaan diwujudkan buat pertama kali untuk memastikan skuad hoki lelaki dan wanita negara meraih pingat emas pada Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun.- BERNAMA