Orang ramai yang baru tiba dari Sabah beratur panjang untuk melalui proses saringan. foto MOHD ADZLAN SIDEK

SEPANG – Ratusan penumpang yang tiba di Lapangan  Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Sabah terpaksa beratur panjang dan menunggu berjam-jam sebelum dapat menjalani saringan  Covid-19.

Wartawan MalaysiaGazette yang tiba di KLIA dari Tawau kira-kira pukul 6.45 petang tadi selepas membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah turut melalui pengalaman tersebut.

Para penumpang dari Sabah yang baru tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang beratur panjang untuk – menjalani saringan Covid-19. – Foto MOHD ADZLAN

Ini berikutan peraturan yang dikuatkuasakan bermula hari ini sehingga 10 Oktober depan bagi membendung pandemik tersebut memandangkan jumlah kes yang tinggi di negeri bawah bayu itu.

Penumpang dari Sabah yang mengisi borang permohonan ujian makmal sebelum menjalani ujian saringan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). foto MOHD ADZLAN, 27 SEPTEMBER 2020.

Ketika berita ini ditulis para penumpang yang tiba pada pukul 3 petang baru selesai menjalani saringan selain membuat pendaftaran MySejahtera, manakala kumpulan yang tiba dari Tawau masih lagi menunggu giliran.

Ujian swab sedang dilakukan terhadap salah seorang penumpang tiba dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang. – Foto MOHD ADZLAN 

Dilaporkan ada lagi penerbangan dari Sabah yang tiba menjadikan barisan menunggu semakin panjang.

Menurut anggota keselamatan yang bertugas, kumpulan pertama tiba dari Sabah pukul 8 pagi tadi dan yang terakhir jam 9 malam. Keutamaan diberi kepada warga emas, kanak-kanak dan wanita hamil.

Selepas selesai menjalani saringan, setiap individu akan diarahkan memakai gelang merah jambu sepanjang tempoh yang ditetapkan. Proses ini juga akan mengambil masa yang panjang.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua individu yang tiba dari Sabah wajib menjalani saringan Covif-19.

Penumpang dari Sabah yang sedang beratur panjang untuk menjalani ujian saringan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). foto MOHD ADZLAN, 27 SEPTEMBER 2020.

Mereka termasuk bukan warganegara tidak akan dikenakan caj ujian saringan tersebut.

“Mengambilkira situasi semasa ini, terdapat keperluan untuk melaksanakan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan Covid-19 ke atas individu dengan sejarah perjalanan dari Sabah bagi memantau risiko penularan jangkitan dalam kalangan individu-individu tersebut,” katanya.

Antara tempat yang disediakan khas untuk penumpang dari Sabah yang menjalani ujian saringan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). foto MOHD ADZLAN, 27 SEPTEMBER 2020.

Tambah beliau lagi, kesemua individu yang baru tiba dari Sabah diwajibkan menjalani perintah kuarantin di rumah (HSO) bermula dari tarikh ketibaan di pintu masuk sehingga keputusan makmal diperolehi. – MalaysiaGazette