Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M.Saravanan bercakap pada Majlis Pelancaran Wisma Tun S.Samy Vellu di Wisma Tun S.Samy Vellu, Jalan Sarikei, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 27 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Slogan Sabah untuk Sabahan yang dibawa oleh Parti Warisan Plus berkemungkinan faktor utama parti yang diterajui Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditumbangkan pengundi semalam.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M.Saravanan berkata, beliau sendiri dapat melihat sentimen rasis yang cuba dimainkan oleh puak sebelah sana semasa menghadiri kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Bawah Bayu itu.

“Sabah untuk Sabahan mungkin salah satu sebab rakyat tolak Warisan Plus kerana sepatutnya menjadi tanggungjawab kita melahirkan bangsa Malaysia.

“Bayangkan kalau pendekatan (Sabah for Sabahan) itu berjaya maka semua akan tuntut sedemikan, mungkin Kelantan untuk orang Kelantan dan Terengganu untuk orang Terengganu akan menyusul yang pasti akan menidakkan usaha kerajaan untuk menyatupadukan rakyat di bawah satu bumbung.

“Nanti satu ketika pada masa depan tiada Malaysia jika dimainkan sentimen sebegitu seperti pembangkang di sana. Terima kasih rakyat Sabah kerana menolak Warisan Plus dan Shafie,” katanya dalam sidang media selepas hadir bersama presiden parti itu, Tan Sri S.A. Vigneswaran ke satu majlis perasmian Koperasi Pekerja Jaya Berhad yang turut dihadiri bekas Presiden MIC, Tun S. Samy Vellu hari ini.

Menurut Saravanan, dalam masa terdekat ini kerajaan Perikatan Nasional berjaya membentuk perpaduan yang menjadi asas sesebuah negara untuk terus maju ke hadapan.

“Saya lihat semasa kempen ada cuba pecah belahkan kita dengan slogan Sabah untuk Sabahan…ramai menteri dari Pusat terdiri daripada Sabah dan Sarawak.

“Jadi kita tak boleh cakap Sabah for Sabahan, terima kasih rakyat buktikan mereka nak lahirkan bangsa Malaysia dengan menolak Warisan,'” ujarnya.

Katanya, keputusan majoriti mudah 38 kerusi daripada jumlah 73 kerusi yang dipertandingkan dengan perbezaan enam kerusi dengan Warisan Plus yang didakwa goyah oleh pihak tertentu mungkin boleh dielakkan sekiranya BN berganding dengan Perikatan Nasional (PN) tanpa bertanding secara berasingan.

“Kalau lihat keputusan GRS menang iaitu pecahan kerusi PN 17, BN 14 kerusi, Parti Bersatu Sabah (7). BN berdiri asing pun boleh menang 14 kerusi dan saya rasa kalau berganding dengan PN mungkin kerusi menang bertambah.

“Tetapi kita sudah ada majoriti mudah dan berharap menerusi semangat muafakat GRS yang dipersetujui kita membina kerajaan yang membela rakyat Sabah kai ini di bawah PN,” tegas beliau.

Malah beliau juga selaku Menteri Sumber Manusia akan terus memberi fokus kepada pembangunan negeri Sabah khususnya dalam aspek masalah pengangguran melalui program-program sumber manusia dan kemahiran bersasarkan belia dan pemuda.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.