Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap kepada media selepas menghadiri Program 7th Breast Care Nurse Meeting di Auditorium Institut Kanser Negara, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 28 SEPTEMBER 2020

PUTRAJAYA – Keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Sabah akan diketahui petang ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kini ia boleh dilaksanakan memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah selesai.

“Kita tunggu pengumuman petang ini tindakan seterusnya di negeri Sabah.

“Bukan kita tidak laksanakan, tapi mungkin tidak umumkan, tindakan kita ialah sudah perketatkan kawalan sempadan supaya menyekat pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI), sebanyak 98 sekatan jalan raya serta aktiviti kesihatan awam tapi tak umumkan sebagai PKPD atau PKPD Secara Pentadbiran,” katanya selepas merasmikan Seminar Jururawat Kanser Payudara Malaysia di Institut Kanser Negara di sini.

Beliau menyakan demikian ketika ditanya mengapa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak melaksanakan PKPD Secara Pentadbiran di seluruh Sabah memandangkan kes Covid-19 di semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Semalam sebanyak 150 kes baharu positif Covid-19 direkodkan, termasuk empat kes import.

Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak  124 kes adalah di Sabah yang mana 58 adalah daripada kluster Benteng LD dan dua kluster baharu iaitu Buang Sayang di Sipitang dan Kampung Sakong di Semporna.

Menurut Dr. Noor Hisham, jika pengumuman dilakukan sebelum ini pihaknya akan dilihat seolah menghalang pengudi menjalankan tanggungjawab mereka.

“Jadi kita tak nak terkesan atau dipersalahkan membiarkan aktiviti harian negeri serta hari mengundi dilaksanakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette