Datuk Hajiji Noor

KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sepakat mengangkat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah dan bakal mengangkat sumpah esok.

Perkara itu diumumkan oleh Hajiji sendiri dalam sidang media yang turut dihadiri oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin di sini.

Hajiji merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah dan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Pemilihan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah dicapai atas kata sepakat dan persetujuan GRS,” kata Bung Moktar yang menang di kerusi Dewan Undangan Negeri Lamag dalam Pilihan Raya Negeri Sabtu lalu.

Sementara itu ditanya siapa bakal dilantik ke jawatan timbalan ketua menteri, Hajiji berkata, nama individu berkenaan akan diumumkan kelak.

Turut hadir dalam sidang media itu Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hasan.

GRS berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 38 kerusi DUN dan melepasi majoriti mudah.

Hajiji memperolehi 5,919 undi di DUN Sulaman mengalahkan seterunya daripada Parti Cinta Sabah (PCS), Rekan Hussien dan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Aliasgar Basri dengan majoriti 3,099 undi. –  MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Tahniah.. Cepat lantik.. Cepat Selesai isu km. Dan waktu berkerja plak.. Fokus kpd rakyat.. Janji2 pada rakyat.

Comments are closed.