Tan Sri Noh Omar

BANGI – Tiada sesiapa boleh mempertikaikan pendirian Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menerima pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Hajiji Mohd Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar menegaskan, ini kerana Ahmad Zahid berhak berbuat demikian sesuai dengan kuasanya sebagai Presiden UMNO.

“Tak apa laa…dia kan Presiden,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Kementerian Pengajian Tinggi Career Advancement Programme (KPT-CAP) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid dalam satu kenyataan berkata, Barisan Nasional (BN) menghormati kesepakatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk melantik Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, ia bersesuaian dengan dasar semangat autonomi UMNO Sabah yang dipersetujui bersama walaupun beliau dari awal telah menegaskan bahawa jawatan Ketua Menteri Sabah seharusnya diserahkan kepada UMNO.

Awal hari ini, Hajiji menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Menteri Sabah daripada Yang di-Pertuan Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Bagaimanapun Hajiji akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah di Istana Negeri Sabah, 10 pagi esok. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pelantikan Dato Hajiji tepat dan bersusaian. Kerana beliau tidak terlibat dengan apa2 kes makamah sama ada bersalah atau tidak. Semoga ketua menteri yang baru dilantik dapat menunaikan tangong jawab dengan iklas dan berkesan terutama pada rakyaat yang menyokong beliau sehingga menjadi ketua menteri. Itu lah niat Rakyaat Bahh.

Comments are closed.