Dr Jeniri Amir
Dr Jeniri Amir

KUALA LUMPUR – Adalah mustahil pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu tidak meninggalkan kesan buat Barisan Nasional (BN).

Ini kerana, jawatan itu telah cuba dipertahankan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk diisi oleh parti komponen walaupun Tan Sri Muhyiddin telah menamakan calon lebih awal.

Oleh itu, apabila nama Hajiji dimuktamadkan sebagai pemimpin baharu Sabah, sedikit sebanyak ada kesan kepada BN khususnya UMNO.

“Naiflah kalau tidak ada,” kata Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir kepada MalaysiaGazette.

Sama ada kesan itu dari aspek hubungan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional, semuanya bergantung keadaan keadaan.

Namun, buat masa ini adalah lebih baik BN mahupun PN mengenepikan sebarang sentimen sebaliknya melakukan sesuatu yang terbaik untuk rakyat Sabah berbanding Parti Warisan Sabah (Warisan).

”Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tiada pilihan lain, kecuali menjadi lebih baik dari Warisan.

“Jika wujud isu yang ketara, ia boleh menjadi krisis berpanjangan, itu tidak elok untuk Sabah yang perlu bangkit semula selepas pilihan raya untuk mencorakkan masa depan yang baik berbanding semasa di bawah Warisan.

“GRS sama sekali tidak boleh buruk daripada Warisan.

”Kegagalan BN untuk mendapat kerusi Ketua Menteri Sabah bukan satu kegagalan kepada BN, sebaliknya yang lebih utama ialah bertolak-ansur dan saling bekerjasama demi rakyat Sabah,” ujarnya.

Lagipun, kata Jeniri, persefahaman antara parti-parti ini – sama ada sementara atau kekal perlu sehingga pembubaran Parlimen bagi melaksanakan Pilihan Raya Ke-15 nanti.

Buat masa ini, kestabilan politik dan ekonomi lebih utama ketika satu dunia termasuk Malaysia dalam bencana Covid-19.

”Survival negara lebih utama,” menurut beliau.

Jeniri berkata, semua parti perlu mengambil iktibar daripada keputusan Pas yang tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah tetapi tetap turun padang membantu di kawasan-kawasan Islam Bumiputera.

“Pas tidak bertanding dan ia tidak sabotaj,” ujar beliau lagi.

Ditanya adakah ‘persefahaman’ antara BN dan Bersatu akan berpanjangan, Jeniri berkata, ia sukar diramalkan kerana pada masa sama pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mempunyai majoriti tidak boleh dipandang sepi.

Ditambah dengan dakwaan Ahmad Zahid bahawa ada dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO dan BN menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat.

“Sama ada landskap politik berubah lagi atau tidak selepas PRN Sabah, itu perlu dilihat sejauh mana pengumuman yang dimaklumkan oleh Anwar,” katanya.