Gambar hiasan

KAJANG – Seorang lelaki warga Nigeria ditahan selepas disyaki mengamuk sehingga membawa kecederaan kepada orang awam di sebuah restoran di Jalan Temenggung Seksyen 9, Bandar Mahkota Cheras hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan dari seorang wanita tempatan merupakan pemilik restoran berkenaan yang mendakwa warga asing terbabit dalam keadaan mabuk telah mencederakannya.

“Dalam laporan polis yang dibuat, pengadu mendakwa pada jam 3.30 petang hari ini semasa bekerja di kedai makan miliknya, dia telah dipukul oleh seorang lelaki dipercayai warga Nigeria di bahagian belakang dan badan dengan menggunakan tangan.

“Dalam kejadian tersebut, saspek yang di bawah pengaruh alkohol telah membuat kacau dan merosakkan barang dalam kedai dan memukul mangsa.

“Saspek juga telah memukul dan mencederakan lelaki yang merupakan pemandu lori yang sedang menurunkan barang di kedai sebelah restoran itu,’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zaid, polis yang bergegas ke tempat kejadian telah berjaya menangkap saspek tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencederakan dan perbuatan khianat,” katanya.

Kes masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan diseru tampil ke hadapan atau menghubungi balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Salena di talian 017-642 4007 untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.