Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 29 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Negara merekodkan 101 kes baharu Covid-19 setakat jam 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah kes positif sebanyak 11,135 kes.

Peningkatan itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,062 kes.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 101 kes baharu yang dilaporkan, empat kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan satu warganegara dan tiga warga asing dari Myanmar, Arab Saudi dan Nigeria.

Daripada 97 kes penularan di dalam negara, 93 kes adalah warganegara Malaysia dan 4 kes adalah bukan warganegara.

Sebanyak 17 kes mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah pada hari ini, menjadikan jumlah kes sebanyak 63 sejak 20 September 2020.

Sehingga kini, terdapat 13 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang mana lima kes memerlukan bantuan pernafasan namun tiada pertambahan kes kematian hari ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 134 kes (1.20 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 9,939 kes (89.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham menambah, terdapat peningkatan kes Covid-19 di Malaysia sejak 7 September 202 dipacu oleh peningkatan kes di Sabah dan Kedah.

Susulan itu, KKM telah mengambil tindakan langkah kawalan dan pencegahan bagi membendung penularan wabak ini termasuk:
• Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran di daerah Lahad Datu, Tawau, Kunak dan
Semporna, Sabah;
• Pengesanan kontak rapat kes positif COVID-19;
• Pelaksanaan proses nyah kuman dan dekontaminasi di lokasi-lokasi yang terbabit dengan COVID-19;
• Pelaksanaan saringan di Pintu Masuk Domestik dan Antarabangsa;
• Perluasan saringan bagi komuniti dan golongan berisiko tinggi;
• Mobilisasi pasukan bantuan kesihatan ke zon merah;
• Penambahan bilangan katil di hospital dan pusat kuarantin; dan
• Penambahan kapasiti makmal perubatan.

Justeru, Dr Noor Hisham meminta masyarakat sentiasa mematuhi prosedur operasi standard agar langkah kawalan dan pencegahan yang diambil oleh KKM, agensi-agensi lain dengan kerjasama masyarakat, dapat membendung penularan Covid-19 di Malaysia. – MalaysiaGazette