Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Mana-mana pesakit positif Covid-19 yang meninggal dunia akibat punca atau sebab lain seperti kemalangan, tidak lagi dikategorikan dalam senarai kematian akibat pandemik itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pendekatan itu diambil berdasarkan empat kriteria yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini.

Menurut beliau, sebelum ini semua individu yang menerima rawatan akibat positif Covid-19 yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya atau penyakit kronik seperti barah dan sebagainya dikategorikan sebagai kematian berkaitan Covid-19.

“Setakat ini, kita ada 134 kes yang telah dimasukkan dalam senarai kematian akibat Covid-19 dan kriteria baharu yang dikeluarkan WHO sudah dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.

“Kita sekarang melaksanakan pendekatan prospektif yang mana selepas ini mereka yang disahkan positif Covid-19 tetapi meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, kita tidak akan memasukkan dalam senarai kematian akibat Covid-19,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum itu,  KKM dilaporkan akan mengklasifikasi semula kes kematian Covid-19 mengikut garis panduan ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Rohaizat Yon dilaporkan sebuah akhbar tempatan berkata, ia bagi mewujudkan keseragaman membabitkan data kes kematian Covid-19 seluruh dunia.

Katanya, kes kematian Covid-19 dibahagikan kepada dua kategori, iaitu mati akibat pandemik dan maut bersama virus terbabit iaitu kematian disebabkan faktor lain seperti serangan jantung. – MalaysiaGazette